Oleh Norsyafawati Ab Wahab and Rosemarie Khoo
KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempamerkan kepintaran politik yang luar biasa sebagai pengerusi ASEAN dalam mendepani cabaran yang dihadapi rantau ini, termasuk yang di luar jangka selepas beliau menggalas tanggungjawab kepengerusian blok itu daripada Laos pada Oktober lepas.
Isu paling utama ialah tarif Amerika Syarikat (AS) yang membebankan dan tidak dijangka menyebabkan landskap perdagangan global menjadi tidak menentu dan pasaran tidak stabil, memaksa beberapa negara maju mengambil langkah balas dan melindungi kepentingan mereka dengan banyak negara Selatan Global berasa tertekan dan tidak pasti mengenai langkah seterusnya.
Bagaimanapun, aspek positif yang sangat ketara ialah perdagangan dua hala Malaysia yang kukuh dan hubungan ekonomi jangka panjang dengan AS yang termasuk peranan pentingnya dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Ciri-ciri ini, dengan personaliti Anwar yang mengekalkan hubungan mesra dengan rakan dan lawan, telah memberi kelebihan kepada Malaysia dalam rundingan tarif dan memperjuang kepentingan ekonomi Asia Tenggara sebagai pengerusi kumpulan serantau itu.
Pertumbuhan ekonomi dan pelaburan
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industri Universiti Islam Selangor Dr Latifa Bibi Musafar Hameed bersetuju hubungan perdagangan Malaysia dengan AS kekal kukuh sejak merdeka dan terus memacu pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.
Dari Januari hingga Oktober 2024, perdagangan Malaysia-AS meningkat 29.1 peratus kepada RM264.28 bilion, naik daripada RM204.78 bilion pada tahun sebelumnya manakala 1,321 projek bernilai US$39 bilion (RM173 bilion) telah dilaksanakan dan sedia untuk pengurusan, mencerminkan hubungan pelaburan yang kukuh dengan AS, katanya kepada Bernama.
“Hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan AS memainkan peranan penting dalam memudah cara rundingan tarif,” katanya, merujuk kepada pegawai perdagangan AS yang mengiktiraf kepentingan ekonomi strategik Putrajaya kepada Washington.
Berdasarkan situasi sedemikian, jelas bahawa pendekatan Anwar konsisten dalam menggesa negara anggota mengelak tindakan balas tetapi proaktif dalam merundingkan cukai import untuk melindungi kepentingan ekonomi mereka.
Penganalisis bersetuju pengalaman Anwar dalam menghadapi cabaran dan kesukaran politik jelas memberi manfaat kepada ASEAN berikutan kepengerusiannya telah membawa Asia Tenggara mencapai konsensus serta menekankan kepada perdagangan bebas dan multilateralisme terhadap tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump ke atas 168 negara.
Tarif kini ditangguhkan selama 90 hari untuk kebanyakan negara, dengan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia terlibat dalam rundingan untuk mencapai perjanjian perdagangan yang lebih baik.
Perdana Menteri yang amat yakin dengan kekuatan dalaman ASEAN telah menggesa perdagangan intra-ASEAN dan daya tahan rantaian bekalan yang lebih kukuh sebagai penampan terhadap gangguan dalam aliran perdagangan dunia.
Pakar-pakar berpendapat langkah ini telah mengukuhkan kedudukan Putrajaya dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengerusi ASEAN di tengah-tengah kecelaruan berhubung tarif import AS.
Rundingan dan Kelebihan Malaysia
Pakar Geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berkata peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor AS, yang malahan diakui oleh Trump sendiri melalui pengecualian tarif terhadap sektor itu, memberikan negara kelebihan besar dalam rundingan perdagangan.
Azmi berkata kepentingan diplomatik Malaysia tahun ini ialah tanggungjawabnya sebagai pengerusi ASEAN, yang memberi peluang kepada negara untuk mewakili pasaran serantau dengan lebih 600 juta pengguna - tarikan utama kepada perniagaan AS.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia boleh memanfaatkan kedudukannya untuk menunjukkan kepentingannya kepada AS dalam rundingan tarif global,” katanya.
Prof Dr Barjoyai Bardai, ahli ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata dengan eksport bernilai lebih RM190 bilion ke AS setiap tahun, Malaysia merupakan sumber eksport ketiga terbesar Washington, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam sesi rundingan.
Barjoyai juga berharap Malaysia akan terus mengekalkan pendirian perdagangan berkecualinya selain terus memperjuangkan produk eksport utama negara terutamanya semikonduktor, elektronik dan minyak sawit.
Penganalisis juga berpandangan Anwar berjaya menangani persaingan ekonomi kuasa besar antara AS dan China secara seimbang dengan menggesa integrasi yang lebih baik melalui peningkatan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota tanpa memihak kepada negara tertentu.
Ini jelas dapat dilihat semasa lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini apabila Perdana Menteri - walaupun China mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dengan Asia Tenggara - telah menggesa agar multilateralisme diberikan keutamaan.
Melihat daripada apa yang dikatakan Anwar setakat ini, pengerusi ASEAN itu telah menunjukkan kepakaran diplomasi beliau dalam mendukung suara Selatan Global tanpa mencabar kuasa besar dan juga kuasa di Utara.
Dalam proses itu, beliau secara konsisten menyokong rantau ASEAN bukan sahaja sebagai pasaran eksport yang menguntungkan tetapi destinasi menarik untuk pelaburan semikonduktor.
Penganalisis juga berpendapat Anwar menangani peningkatan persaingan kuasa ekonomi besar AS dan China secara seimbang dengan penyepaduan lebih meluas menerusi pertambahan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Langkah itu dibuktikan sewaktu kunjungan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini yang menyaksikan Anwar menggesa multilateralisme sebagai orde pada masa ini walaupun China diketahui menjalin hubungan perdagangan dan pelaburan yang signifikan dengan Asia Tenggara.
Menilai apa yang telah diperkatakan oleh Anwar setakat ini, beliau selaku pengerusi ASEAN telah mempamerkan kemahiran diplomasi dalam berkongsi suara Selatan Global tanpa mencabar kuasa besar di sebelah Utara.
Dalam proses itu, Perdana Menteri juga secara konsisten mengetengahkan rantau ASEAN yang tidak hanya berperanan sebagai pasaran eksport yang menguntungkan tetapi juga destinasi menarik bagi tujuan pelaburan semikonduktor.
Penganalisis juga menyifatkan kepengerusian ASEAN diterajui Malaysia di bawah Anwar penting dalam memastikan aturan global yang adil di tengah-tengah kecenderungan (dasar) perlindungan serta nasionalis yang dicetuskan oleh perang tarif Washington.
Dalam polemik berkaitan penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi BRICS, kumpulan negara-negara merangkumi Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan dan beberapa negara Afrika, Timur Tengah dan Asia, Anwar menekankan bahawa perkumpulan itu bukanlah saingan geopolitik kepada Barat.
Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, BRICS adalah platform tambahan bagi kerjasama dan bukannya bertujuan menyebelahi mana-mana pihak.
Ia jelas melengkapi ciri pelbagai hala ASEAN dari segi peningkatan peluang pasaran serta perkongsian ekonomi yang lebih besar.
Penasihat Kanan Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik (KSI) dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) Dr Anthony Dass berkata Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025, harus melihat BRICS dan ASEAN secara “rasional sebagai platform yang berkembang dan bukannya rakan kongsi gantian.”
Beliau berkata dalam dunia berpecah-belah dengan keyakinan terhadap institusi tradisional kian menipis, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia berlaku dalam tempoh kritikal dan menawarkan peluang untuk membentuk tindak-tanduk rantau itu -- bukan sekadar pemerhati, bukan juga untuk diperlekeh, tetapi satu suara jitu proaktif serta yakin bagi aturan global lebih adil.
“Sejajar dengan BRICS yang meninjau mekanisme perdagangan mata wang tempatan, pembiayaan pembangunan dan koridor perdagangan baharu, penyertaan ASEAN boleh membuka medium baharu untuk memperkukuh ekonomi kita tanpa mengetepikan hubungan dengan rakan tradisional seperti AS, Kesatuan Eropah (EU), Jepun atau Australia.
“Ini bukan mengenai mengurangkan kebergantungan -- ia berhubung memperluas pilihan,” kata Anthony.
Mengambil Pendekatan Berhati-Hati
Bagaimanapun, kerjasama yang lebih erat dengan BRICS mempunyai cabarannya.
“Kita perlu mengambil pendekatan berhati-hati, memastikan perpaduan ASEAN tidak terjejas walaupun blok ini bekerjasama dengan BRICS.
“Komunikasi dan sokongan adalah penting serta kerjasama ini tidak didorong oleh blok politik, sebaliknya daripada pragmatisme ekonomi -- memfokuskan kepada pembangunan, kemudahan perdagangan, akses digital dan pembiayaan mampan -- dengan kesemua ini kian menjadi keutamaan BRICS,” katanya.
Di bawah kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, beliau berkata ASEAN boleh memperkukuh peranannya sebagai blok yang membawa kestabilan dan berpandangan ke hadapan dalam Selatan Global.
Katanya Malaysia boleh mendorong kepada perdagangan intra-ASEAN yang lebih kukuh dan rantaian bekalan berdaya tahan, penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas dalam perdagangan rentas sempadan, platform bagi projek bersama ASEAN-BRICS dalam bidang tenaga, iklim dan kesihatan serta terma yang lebih adil untuk akses pasaran EU terutamanya bagi komoditi seperti minyak sawit dan getah.
“Visi yang lebih menyeluruh di sini ialah memastikan ASEAN tidak terperangkap dalam persaingan kuasa besar.
“Mesej Malaysia mestilah jelas: ASEAN bekerjasama dengan semua, tidak berpihak kepada sesiapa dan menyatakan pendirian yang senada demi masa depan rantau ini,” kata Anthony.
Menurutnya, selari dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, rantau ini boleh bekerjasama dengan BRICS untuk menggalakkan pembaharuan dalam tadbir urus global -- tanpa perlu menjejaskan hubungan dengan Barat.
ASEAN juga boleh menjadi model untuk kerjasama serantau yang dapat memajukan kepentingan negara-negara membangun selain kekal terbuka, dinamik dan berprinsip.
Sementara itu, Penasihat Utama Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia Dr Oh Ei Sun berkata Malaysia juga perlu tumpu untuk menjadi ahli penuh BRICS.
“Kini Trump kembali menerajui AS, kita perlu mengambil pendekatan yang lebih bertolak ansur apabila berurusan dengan Barat yang kembali berpengaruh, cuba lebih menyepadukan ASEAN dengan Barat,” katanya.
Di bawah kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, Anwar menegaskan ASEAN boleh mengukuhkan peranan sebagai blok yang membawa kestabilan dan berpandangan ke hadapan dalam Selatan Global tanpa perlu “menjejaskan hubungan dengan Barat.”
-- BERNAMA