AM

DPA DILAKSANA MELALUI PINDAAN AKTA SPRM, DIBENTANG TAHUN DEPAN - AZAM BAKI

30/04/2025 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) akan dibuat melalui pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang dijangka dibentang di Parlimen pertengahan tahun depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata cadangan pindaan terhadap akta itu bagi membolehkan pelaksanaannya, akan dibawa ke Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“DPA adalah undang-undang yang telah digunakan banyak negara maju seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom bagi menyelesaikan kes penyelewengan melibatkan entiti atau institusi perniagaan yang besar.

“Melalui DPA, entiti atau institusi perniagaan terlibat (tertuduh) perlu mematuhi beberapa perkara antaranya melibatkan pemulangan semula wang atau aset yang diseleweng, membayar penalti atau denda dikenakan, selain perlu mematuhi syarat dikenakan kepadanya oleh pihak penguat kuasa dan Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Executive Talk bersama pengurusan tertinggi media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Azam berkata pelaksanaan DPA dapat menjimatkan kos dan proses mahkamah yang panjang, namun ia tidak bermakna tiada pendakwaan akan dikenakan terhadap tertuduh.

“Pendakwaan tetap ada tetapi ia ditangguhkan. DPA hanya akan digunakan bagi kes-kes melibatkan penyelewengan dan tidak kepada kes-kes rasuah dengan jumlah yang kecil.

“Keputusan menggunakan DPA ini juga bukan keputusan sebelah pihak, ia memerlukan persetujuan bersama (pendakwa dan tertuduh). Pendakwa raya mesti bersetuju dan menilai justifikasi mengapa kes berkenaan boleh diberikan DPA,” katanya.

Mengulas lanjut, Azam berkata aset yang dirampas, denda atau penalti yang dikenakan terhadap entiti yang ditawarkan DPA akan dimasukkan ke dalam kantung negara dan dimiliknegarakan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan