KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Inflasi keseluruhan Malaysia turun kepada 1.4 peratus pada Mac 2025 daripada 1.5 peratus dalam bulan sebelumnya manakala inflasi teras kekal stabil pada 1.9 peratus, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata perbezaan berkenaan sebahagiannya didorong oleh peluputan kesan dasar terhadap komponen Indeks Harga Pengguna (IHP) bukan teras, termasuk tarif air dan elektrik yang meningkat bagi tempoh sama pada tahun lepas.
“Oleh itu, hal ini telah mempengaruhi inflasi keseluruhan,” kata BNM dalam kenyataan Sorotan Bulanan Mac 2025 hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, bank pusat itu berkata inflasi bagi komponen IHP bukan teras lain seperti makanan segar dan bahan api RON97 mencatatkan aliran atau trend penurunan, selaras dengan harga komoditi yang semakin berkurangan.
Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (IOWRT) meningkat sebanyak 3.9 peratus pada Februari 2025 berbanding 3.8 peratus pada bulan sebelumnya.
“Pertumbuhan lebih tinggi dalam segmen borong didorong oleh perdagangan borong jentera, peralatan dan bekalan.
“Segmen runcit terus berkembang walaupun pada kadar sederhana, disokong oleh jualan runcit di kedai barangan bukan khusus,” katanya.
Selain itu, segmen kenderaan bermotor terus mengalami penguncupan meskipun pada tahap lebih kecil.
Prestasi itu, kata BNM, mencerminkan penjualan kereta yang kembali normal selepas mencatat paras tertinggi bagi tempoh tiga tahun lepas.
Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.5 peratus pada akhir Mac 2025 berbanding 5.1 peratus pada Februari, didorong oleh pertumbuhan bon korporat terkumpul lebih tinggi (5.3 peratus; Februari 3.8 peratus) dan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang berterusan (5.6 peratus, Februari 5.5 peratus).
“Pertumbuhan pinjaman terkumpul perniagaan meningkat kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus dalam Februari, berikutan pertumbuhan lebih tinggi untuk tujuan modal kerja, terutama dalam kalangan bukan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Bagi tempoh sama, BNM berkata pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 6 peratus dengan pertumbuhan berterusan merentasi kebanyakan kategori pinjaman.
Pasaran kewangan global mengalami ketidaktentuan ketara, didorong oleh ketidakpastian yang meningkat berkaitan dengan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Dalam pada itu, sentimen pelabur sentimen pelabur merosot berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kelembapan ekonomi global dan peningkatan jangkaan pasaran untuk pemotongan kadar dasar AS yang lebih besar.
Menyentuh ringgit, BNM berkata dalam kebimbangan terhadap ekonomi AS dan mata wangnya, ringgit menambah nilai sebanyak 0.7 peratus berbanding dolar AS.
Kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) menokok 0.2 peratus berbanding purata serantau pada 0.4 peratus.
“Hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun menurun sebanyak dua mata asas berbanding 3.6 mata asas di peringkat serantau,” katanya.
Indeks FBM KLCI Bursa Malaysia turun sebanyak 3.9 peratus (purata serantau 1.4 peratus) berikutan aliran keluar asing bersih, dipacu oleh peningkatan pelabur mengelak risiko.
BNM juga menegaskan sistem perbankan terus mencatat penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 151.6 peratus pada Mac lepas berbanding 154.4 peratus dalam bulan sebelumnya.
Agregat nisbah pinjaman kepada dana meningkat sedikit kepada 83.9 peratus daripada 83 peratus pada Februari, didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang berterusan.
Menurut bank pusat itu, nisbah pinjaman terjejas kasar turun kepada 1.4 peratus (1.5 pertus pada Februari, namun nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 0.9 peratus.
“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 131.3 peratus daripada pinjaman terjejas kasar berbanding 130.3 peratus pada Februari,” katanya.
-- BERNAMA