AM

KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS: KERJA KELUARKAN PAIP TERJEJAS AMBIL MASA SEMINGGU LAGI 

30/04/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Kerja-kerja mengeluarkan bahagian paip dari dalam kawah di ground zero yang terkesan dengan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas dijangka selesai seminggu lagi, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak tiga bahagian paip sepanjang 16 meter daripada sebatang paip yang terjejas telah dikeluarkan dan usaha mengeluarkan bahagian terakhir paip yang dianggarkan sepanjang lima meter sedang dilaksanakan untuk dianalisis.

“Untuk siasatan di ground zero ini, saya jangka dalam satu minggu lagi untuk kita keluarkan bahagian terakhir itu untuk melengkapkan siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Secara spesifiknya, JKKP kena buat analisa dekat lab (makmal) dengan bantuan SIRIM untuk ujian bahan dan beberapa lagi analisa yang mereka perlu buat untuk membuat kesimpulan kenapa boleh berlaku letupan. Lepas itu, lokasi kejadian akan diserahkan kepada Petronas untuk proses pemulihan yang dijangka mengambil masa beberapa bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau keadaan ground zero bersama hampir 50 pengamal media tengah hari tadi.

Hussein juga berkata faktor cuaca tidak menentu turut menyukarkan kerja-kerja siasatan yang dijalankan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata sepanjang 28 hari sejak 1 April lepas siasatan dijalankan, 20 daripada hari-hari itu berlaku hujan dan mengganggu kerja-kerja siasatan di lokasi kejadian.

“Setiap kali hujan, kerja siasatan perlu dihentikan sementara dan kita memerlukan hampir setengah hari untuk mengepam keluar air bertakung dalam kawah sebelum boleh menyambung semula kerja-kerja penggalian.

“Keadaan tanah yang tidak stabil akibat hujan turut menjadi faktor yang melambatkan operasi,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga akan mengeluarkan satu laporan bagi membantu JKKP berkaitan dengan pengambilan sampel tanah untuk menilai struktur tanah di ground zero itu.

Sementara itu, Hussein berkata pihaknya mengesan lokasi sebuah jengkaut yang dilaporkan terbenam pada hari kejadian kebakaran saluran gas berkenaan. 

"Secara kasarnya, kita sudah tahu lokasinya dan ia berada di luar kawasan yang kita sedang korek buat masa ini. Ia akan mengganggu kerja-kerja korek di tengah ground zero ini jika kita korek jengkaut itu sekarang.

“Kita tidak boleh korek beberapa tempat sekali, jadi selepas selesai semua analisa dan siasatan pada paip di tengah ground zero ini, kita akan tutup tanah itu dan barulah kita boleh korek di lokasi jengkaut itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan