SHAH ALAM, 30 April (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini memperkenalkan dua kempen baharu bagi menyemarakkan aktiviti kutipan zakat menggunakan kaedah bersasar dan lebih sistematik.
Ketua Divisyen Kutipan LZS Muhd Fikri Naim Harun berkata kempen dikenali Jom Bantu Asnaf Setiap Bulan dan Suburkan Niagamu itu merupakan antara inisiatif LZS menjayakan sasaran kutipan zakat berjumlah RM2 bilion menjelang 2030.
Beliau berkata kedua-dua kempen itu menawarkan ganjaran wang tunai dan pakej percutian kepada pembayar zakat terpilih.
"Data 2024 menunjukkan jumlah pembayar zakat melalui Skim Potongan Gaji (SPG) adalah amat positif dan untuk itu, LZS melancarkan kempen Jom Bantu Asnaf Setiap Bulan menggunakan konsep sama termasuk debit langsung.
“Menerusi kempen ini, orang ramai berpeluang memenangi pakej pelancongan ke Turkiye selain tiga hadiah pakej pelancongan Muslim, sembilan cabutan khas emas seberat 0.5 gram serta 50 hadiah sagu hati Touch 'n Go bernilai RM100," katanya kepada pemberita di sini.
Pakej berkenaan dilancarkan pada majlis meraikan rakan strategik LZS di bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini hari ini.
Mengenai kempen Suburkan Niagamu, Muhd Fikri Naim berkata ia dilancarkan bagi menggalakkan syarikat mikro, kecil dan sederhana di Selangor menunaikan zakat perniagaan dan dalam masa sama berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM10,000.
Beliau berkata kempen berkenaan menawarkan hadiah utama berupa pakej laman e-dagang dan kursus keusahawanan bernilai RM3,500, manakala tablet serta kursus keusahawanan bernilai RM2,500 menanti pemenang tempat kedua dan tempat ketiga pula akan menerima pakej perisian serta kursus keusahawanan bernilai RM2,000.
“Pemenang sagu hati pula akan menerima kursus keusahawanan bernilai RM500. Maklumat lanjut berkaitan kedua-dua kempen ini boleh didapati melalui laman sesawang www.zakatselangor.com.my,” katanya.
-- BERNAMA