EKONOMI

KETUA LABUAN FSA YANG TAMAT PERKHIDMATAN IMBAU CABARAN, REFORMASI SEPANJANG BERTUGAS

30/04/2025 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Hari ini menandakan berakhirnya tempoh perkhidmatan Nik Mohamed Din Nik Musa sebagai Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).

Beliau meninggalkan warisan yang ditakrifkan sebagai berdaya tahan, melakukan perubahan kawal selia dan penyelarasan strategik sewaktu berdepan dengan satu daripada babak paling sukar dalam sejarah kewangan Labuan.

Dilantik pada 1 Mei 2021, Nik Mohamed Din mengambil alih kepimpinan Labuan FSA pada puncak pandemik COVID-19 iaitu pada waktu pasaran global sedang bergolak.

Pusat kewangan antarabangsa seperti Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) juga bergelut dengan gangguan perniagaan yang teruk pada waktu itu.

Berkongsi pengalamannya selepas pembentangan Laporan Pasaran Labuan IBFC hari ini kepada media dan pemain industri, beliau berkata pandemik tersebut membawa kesan operasi dan ekonomi serta-merta.

"Kawalan pergerakan mengganggu aktiviti perniagaan dan memaksa pekerja bekerja dari jarak jauh sementara sistem kritikal terhenti dan menjejaskan data kawal selia, laporan pematuhan serta operasi perniagaan untuk diserahkan tepat pada masanya.

"Labuan IBFC menyaksikan kemerosotan yang ketara dalam aktiviti perdagangan dan kewangan serta beberapa perusahaan perdagangan dinyahsenarai, sekali gus mereka kehilangan kelayakan untuk insentif cukai tiga peratus yang menarik di pusat itu," katanya.

Nik Mohamed Din berkata walaupun berdepan cabaran ini, Labuan FSA bertindak pantas dan tegas selain terlibat serta berkomunikasi secara langsung dengan pihak berkepentingan yang terjejas.

 Selain itu, katanya, pihak berkuasa itu turut menerangkan usaha pematuhan serta mengambil langkah memulihkan keyakinan.

"Bidang kuasa ini berjaya mengembalikan banyak entiti ke dalam senarai kelayakan, memelihara integriti dan daya saing rangka kerja cukai Labuan.

Nik Mohamed Din berkata krisis tersebut walaupun mencabar, tetapi ia memberikan pengajaran yang berharga.

Beliau turut mengimbas kembali iaitu setiap krisis membawa sesuatu yang bernilai untuk dipelajari dan pemikiran itu membuka jalan untuk refleksi institusi dengan lebih mendalam.

"Pada waktu inilah idea mengenai pelan hala tuju strategik jangka panjang terbentuk dan dengan pengurangan skala operasi serta lebih banyak masa untuk berbincang, kepimpinan dan kakitangan Labuan FSA membangunkan visi yang lebih jelas untuk masa depan," katanya.

 Beliau berkata ini membawa kepada penciptaan Pelan Hala Tuju Strategik Labuan IBFC 2022-2026 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor kewangan khusus termasuk insurans kaptif, kewangan Islam, perkhidmatan kewangan digital serta struktur pelaburan yang seiring dengan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Pelan hala tuju ini merupakan titik perubahan bagi kedudukan Labuan IBFC dalam ekosistem kewangan global yang sentiasa berkembang," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan