KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Keuntungan syarikat penerbangan diunjurkan bertambah baik walaupun cabaran rantaian bekalan masih menjadi halangan penting bagi industri, kata Public Investment Bank Bhd (PIBB).
Menurut bank pelaburan itu, unjuran itu disokong oleh faktor muatan, hasil kargo yang lebih baik, harga bahan api jet yang lebih rendah dan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah.
“Kami percaya penilaian syarikat penerbangan masih belum menetapkan harga dalam keadaan makro yang menggalakkan, kerana ketika ini ia didagangkan pada 3.5 kali ganda nisbah harga untuk pendapatan (PER), berbanding purata sebelum COVID-19 sebanyak sembilan kali.
“Justeru, pada pandangan kami, penilaian itu masih dianggap menarik. Kami kekal mengesyorkan ‘melebihi jangkauan’ pada sektor ini,” katanya dalam satu nota hari ini.
PIBB berkata gangguan rantaian bekalan kekal sebagai cabaran penting bagi industri penerbangan kerana pandemik COVID-19 mengakibatkan kelewatan pembuatan, kekurangan komponen yang kritikal dan cabaran logistik, hingga menyebabkan jumlah pesanan tertunggak semakin meningkat.
Berikutan itu, kelewatan penghantaran menyebabkan jumlah purata armada syarikat penerbangan meningkat sehingga 12 tahun, kenaikan ketara daripada purata sebelum pandemik iaitu selama tujuh tahun.
“Memandangkan pesawat yang lebih berusia memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan yang lebih kerap, tempoh tidak beroperasi yang lebih lama dan penggunaan bahan api yang lebih tinggi, semua faktor ini dijangka menjejaskan keuntungan dalam jangka masa terdekat,” katanya.
Selain itu, PIBB berkata jumlah trafik penumpang meningkat 11.6 peratus tahun ke tahun bagi tempoh dua bulan pertama 2025 iaitu mencecah 17.9 juta.
Jumlah itu meletakkan sektor penerbangan berada di landasan yang tepat bagi memenuhi unjuran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) masing-masing sebanyak 105.8 juta dan 112.9 juta penumpang, mewakili pertumbuhan tahun ke tahun antara 8.4 peratus dan 15.6 peratus.
PIBB berkata MAVCOM mencadangkan harga bahan api jet mungkin merosot lebih rendah kepada US$87 setong, dengan mengandaikan “crack spread” (perbezaan harga antara minyak mentah dan produk petroleum ditapis) US$12 setong dan harga minyak mentah US$75 setong.
“Kami menganggarkan bagi setiap penurunan US$1 setong akan mengurangkan kos sebanyak 0.3 peratus,” katanya.
-- BERNAMA