JENAYAH & MAHKAMAH

BAYI DUA BULAN MAUT KERETA LANGGAR LORI BUAT PUSINGAN U

30/04/2025 12:23 PM

JASIN, 30 April (Bernama) -- Seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut, manakala ibu bapanya cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Batu Gajah, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin Supt Mohamad Rusli Mat berkata Nur Hafirzah Qintina Shahrul Asraf Naim disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor kira-kira 5 petang.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira 2.15 petang ketika kereta dinaiki lelaki berusia 35 tahun bersama isteri 22 tahun dan bayi mereka dari arah lampu isyarat Merlimau menuju Batu Gajah.

"Setibanya di lokasi, kereta dinaiki tiga beranak itu telah melanggar bahagian belakang lori dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dari arah sama yang sedang membuat pusingan U," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata ibu bayi terbabit mengalami luka di kepala, bapanya luka di dahi manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohamad Rusli berkata kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta berkenaan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan lori.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan