KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Inisiatif baharu, Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI) dan pengenalan Garis Panduan Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) versi baharu (GPP 6.0), dilihat sebagai langkah strategik ke arah memperkukuhkan keseluruhan ekosistem industri hiburan negara.
Pengerusi Music Malaysia Datuk Freddie Fernandez berkata dengan pelaksanaan inisiatif itu, pihaknya yakin industri hiburan negara akan terus berkembang pesat seterusnya memberi impak positif kepada ekonomi negara dan meningkatkan imej Malaysia di persada dunia.
Beliau berkata peruntukan tahunan RM10 juta di bawah program CEMI akan menjadi dorongan besar kepada penganjuran konsert dan acara berskala besar, yang bukan sahaja dapat meningkatkan imej Malaysia sebagai hab hiburan serantau malah merangsang sektor pelancongan melalui peningkatan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat langsung kepada pelbagai pihak dalam industri, antaranya artis dan pemuzik tempatan yang akan menikmati lebih banyak peluang persembahan serta pendedahan di peringkat antarabangsa.
“Selain itu, pekerja teknikal seperti juruteknik bunyi, kru pencahayaan dan produksi dijangka mendapat lebih banyak peluang pekerjaan. Penyedia perkhidmatan seperti pembekal sistem bunyi, lokasi acara dan penginapan juga bakal menerima permintaan lebih tinggi selaras dengan pertambahan aktiviti penganjuran acara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan penubuhan CEMI, insentif baharu berbentuk rebat kewangan untuk menyokong penganjuran konsert dan acara berskala besar di Malaysia, yang pelaksanaannya berkuat kuasa pada 15 Mei ini.
Fahmi berkata GPP 6.0 pula diperkenalkan bagi memperkemaskan pengurusan acara termasuk memastikan proses permohonan lebih mesra industri, telus dan efisien.
Freddie berkata pengenalan GPP 6.0 yang berkuat kuasa 1 Mei ini, dijangka mempercepatkan proses permohonan kelulusan acara apabila tempoh pemprosesan dikurangkan daripada 14 hari kepada hanya tujuh hari yang dilihat memberi manfaat, terutamanya bagi persembahan berskala kecil dan acara promosi.
“Kami turut menyokong penekanan terhadap aspek pengurusan insiden seperti yang terkandung dalam GPP 6.0, termasuk pelaksanaan kill switch yang membolehkan sesuatu persembahan dihentikan serta-merta apabila perlu.
“Ini merupakan langkah penting bagi menjamin keselamatan dan kelancaran setiap acara. Ia adalah tindakan yang tepat memandangkan beberapa insiden sebelum ini yang tidak diingini,” katanya.
Beliau turut merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Fahmi atas pelaksanaan inisiatif tersebut dan berharap lebih banyak usaha seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang demi merancakkan lagi pembangunan industri kreatif dan hiburan tanah air.
Music Malaysia dianggotai oleh 15 persatuan utama dalam industri muzik negara, merangkumi penganjur konsert, syarikat rakaman, persatuan artis serta pertubuhan seni kreatif, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA