EKONOMI

CO-OPBANK PERTAMA DISARAN PERLUAS PERKHIDMATAN HINGGA KE PEDALAMAN SABAH - EWON BENEDICT

10/05/2024 03:07 PM

PAPAR, 10 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyarankan Co-opBank Pertama (CBP) untuk meluaskan lagi perkhidmatannya di Sabah dengan membuka cawangan sehingga ke kawasan pedalaman di negeri ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata antara daerah pedalaman yang berpotensi untuk pembukaan cawangan institusi perbankan dan kewangan seumpama itu adalah Keningau memandangkan ia mempunyai kawasan pekan yang besar. 

Sehubungan itu, beliau berharap CBP mempertimbang cadangan tersebut sebagai antara usaha untuk membudayakan lagi gerakan koperasi dalam kalangan masyarakat khususnya di pedalaman Sabah.

"Kita faham institusi perbankan dan kewangan ini mempunyai tata kelola tersendiri yang akan membuat penyiasatan terlebih dahulu sama ada mereka boleh buka cawangan baharu. Tetapi, saya secara peribadi menjemput CBP melihat kemungkinan membuka cawangan baharu di pedalaman khususnya di Keningau.

"Saya percaya mereka akan meneliti cadangan ini dan saya serahkan semuanya kepada CBP. Tetapi asasnya haruslah rakyat Sabah menjadi ahli CBP.  Semakin banyak anggota mereka di Sabah, sudah tentu mudah untuk mewujudkan lebih banyak cawangan CBP di negeri ini," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu Ewon merasmikan cawangan baharu CBP di Papar dan Program Memasyarakatkan Koperasi di sini yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang juga merupakan Ahli Parlimen Papar.

CBP Papar merupakan cawangan keempat bank koperasi itu di Sabah, selain tiga cawangan lain di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Pada majlis itu, Ewon turut merasmikan Bank Bergerak CBP yang diperkenalkan buat pertama kali di Sabah sebagai antara inisiatif memberi kemudahan kepada rakyat untuk membuat urusan perbankan terutama penduduk di luar bandar.

Menerusi perkhidmatan bank bergerak ini, katanya, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan sama ditawarkan di kaunter cawangan CBP seperti deposit, simpanan dan menandatangani pembiayaan, selain menyediakan pulangan dividen yang kompetitif.

Sementara itu, Armizan berkata, pembukaan cawangan CBP di Papar dilihat akan dapat membantu masyarakat daerah tersebut khususnya dalam memberi pilihan kepada perkhidmatan perbankan dan kewangan sekali gus memudahkan pembangunan sosio ekonomi serta urusan harian mereka.

"Saya berharap pembukaan cawangan CBP di sini akan dapat memacu pembangunan gerakan koperasi di Papar," katanya.

CBP ditubuhkan pada 7 Jun 1950 dan institusi itu kini mempunyai 30 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan