AM

GTA, YTLAT DAN UNIKL METERAI KERJASAMA, MANTAPKAN PENDIDIKAN ANAK WARGA, VETERAN ATM

08/05/2024 01:05 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA), Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera  (YLTAT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), hari ini menjalin kerjasama dalam memantapkan kelestarian pendidikan dan latihan kemahiran buat anak warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketiga-tiga pihak tersebut bersetuju berkerjasama selama dua tahun, selepas menandatangi surat niat di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. 

Ia ditandatangani Pengerusi Eksekutif GTA Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi, Ketua Eksekutif YLTAT Datuk Dr Mohd Nizar Sudin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL Prof Madya Dr Azman Senin, disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Melalui kerjasama tersebut, GTA antara lain akan menyediakan peluang buat anak warga dan ATM untuk menjalani latihan industri dan penempatan di bawah program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) serta menaja elaun bulanan buat mereka yang terpilih, selain memberikan elaun bulanan buat yang melanjutkan pelajaran di UniKL.

UniKL pula akan merangka dan menyelaras Program Penempatan dan Latihan Industri, menawarkan Program Asasi melalui UniKL Top Achievers Foundation Scholarship (UTAFS) di mana pengecualian yuran akan diberikan kepada anak-anak warga dan veteran ATM yang layak.

Manakala, YLTAT akan menyediakan calon yang merupakan anak warga dan veteran ATM, termasuk pelajar aliran tahfiz secara eksklusif untuk menyambung pengajian di UniKL dan penempatan latihan industri serta penempatan di bawah program Protégé di GTA.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan