AM

POKOK TUMBANG : POLIS KENAL PASTI WANITA WARGA SWEDEN MANGSA KEDUA CEDERA

07/05/2024 08:04 PM

KUALA LUMPUR 7 Mei (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti seorang lagi mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan, dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Nazron Abd Yusof berkata mangsa kedua dikenal pasti wanita warga Sweden, berusia dalam lingkungan 70-an.

Beliau berkata terdahulu seorang lelaki warga tempatan disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi mangsa (juga lelaki) dilaporkan cedera.

“Pemandu sebuah kenderaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun meninggal dunia di lokasi. 

“Selain itu, dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga pemandu e-panggilan dan penumpangnya iaitu seorang wanita warga Sweden berusia 72 tahun, dilaporkan cedera,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Nazron berkata kedua-dua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut, manakala mayat mangsa lelaki itu dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengesan waris mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Nazron berkata kerja pembersihan sedang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia, yang dijangka berterusan sehingga tengah malam ini.

“Laluan ini akan dibuka semula kepada orang ramai selepas kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya menggunakan laluan alternatif, bagi mengelak melalui lokasi kejadian memandang jalan berkenaan ditutup bagi kerja-kerja pembersihan.

Terdahulu, seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam satu kejadian pokok tumbang yang menghempap 17 kenderaan, akibat hujan lebat dan angin kuat di Jalan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 2.19 petang dan seramai 27 pegawai dan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan