DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI

06/05/2024 09:47 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini seiring dengan prestasi positif di pasaran China yang dibuka semula selepas cuti Hari Pekerja minggu lepas, kata seorang peniaga. 

Ketua penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai,  Anilkumar Bagani memberi tahu Bernama harga niaga hadapan minyak kacang soya ditutup kebanyakannya tinggi di Dalian Commodity Exchange.

Beliau juga berkata dagangan niaga hadapan minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT) semasa dagangan waktu Asia juga dilihat lebih tinggi, ditambah dengan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS, yang seterusnya memberi sokongan kepada pasaran niaga hadapan MSM tempatan.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata harga MSM turut mendapat rangsangan daripada kenaikan harga minyak mentah dan anggaran pengeluaran yang lebih rendah oleh Persatuan Pengilang-Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA)  yang menunjukkan pengeluaran minyak sawit Malaysia susut 23.93 peratus pada tempoh 1-5 Mei.

Pada hari ini, penanda aras minyak mentah Brent naik 0.71 peratus kepada US$83.55 setong.

“Kami melihat paras sokongan pada RM3,800 setan metrik dan paras rintangan pada RM3,950 setan metrik,” kata Ng.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mei 2024 naik RM19 kepada RM3,909 setan metrik, Jun 2024 meningkat RM23 kepada RM3,893 setan metrik, manakala Julai 2024, Ogos 2024 dan September 2024 menokok RM18 masing-masing kepada RM3,862, RM3,850 dan RM3,846.

Kontrak Oktober 2024 melonjak RM21 kepada RM3,850.

Jumlah dagangan turun kepada 39,361 lot daripada 40,674 lot pada Jumaat minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 227,559 kontrak daripada 230,394 kontrak sebelumnya. 

Harga MSM fizikal bagi Mei selatan naik RM10 kepada RM3,940 setan metrik.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan