KOTA BHARU, 1 Julai (Bernama) -- Seorang buruh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 39,367.27 gram (g), pada Jun 2021.
Hakim Mohd Rosli Yusoff membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Amran Salleh, 53, di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Mohd Rosli berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa hanya tertuduh mempunyai akses ke atas rumah tidak bernombor di Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas, tempat barang kes ditemukan.
"Milikan dan kawalan akses pintu rumah terbabit tidak berkunci dan sesiapa sahaja boleh masuk, malah saksi mengesahkan rumah kosong itu dijadikan sebagai tempat transit barang-barang salah seperti minyak masak sebelum diseludup ke Thailand.
"Oleh demikian, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes, maka tertuduh dibebaskan dan dilepaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri," katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Amran didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 9,740.87g di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas pada 4.30 petang, 7 Jun 2021.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis sama seberat 2,9626.4g di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau jika tidak dijatuhi hukuman mati, penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 15 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala tertuduh diwakili peguam Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Ahmad Nizam Mohamed.
-- BERNAMA