SHAH ALAM, 1 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dengan rampasan berjumlah RM56,000 dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Pelek, Sepang, dekat sini semalam.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata dalam serbuan itu pihaknya menyita 190 unit tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14 dan 50 kilogram (kg) dengan anggaran berat LPG kira-kira 2,050 kg selain menahan seorang lelaki warga tempatan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata serbuan dijalankan di bawah Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) pada kira-kira 2.10 petang itu dilaksanakan dengan kerjasama polis setelah pemantauan selama dua minggu.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas lokasi tersebut telah menemui aktiviti decanting iaitu memindahkan LPG 14 kg bersubsidi kepada tong gas 50 kg komersial di kawasan tersebut.
“KPDN Selangor mengesyaki premis itu menjalankan aktiviti menjual LPG 50 kg yang berisi LPG bersubsidi kepada pihak industri dengan harga yang lebih rendah berbanding harga sebenar mengikut pasaran. Sebuah lori bonded yang ditemui dalam kes ini turut disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Hanif berkata hasil serbuan turut menemukan beberapa peralatan seperti hos penyambung dan beberapa bungkusan beg plastik berisi ais dipercayai digunakan bagi melakukan teknik decanting untuk menyeleweng barangan kawalan terbabit.
Beliau berkata hasil siasatan turut mempercayai bahawa bekalan LPG subsidi diperoleh daripada pemborong berlesen sekitar Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek.
“Berdasarkan maklumat awal ini, KPDN Selangor akan memfokuskan siasatan rantaian pembekalan yang membawa kepada aktiviti tidak bertanggungjawab ini berlaku.
“KPDN Selangor tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram, serta akan sentiasa menggerak dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung, sekali gus menyelamatkan subsidi negara,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
-- BERNAMA