KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Harga elektrik yang lebih tinggi adalah akibat pelaksanaan surcaj susulan peningkatan kos penjanaan, sekali gus menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan Malaysia kepada 2.0 peratus pada Mei, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam sorotan bulanan bagi Mei 2025 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat itu berkata inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.0 peratus pada Mei daripada 1.0 peratus pada April, manakala inflasi teras kekal stabil pada 2 peratus.
Menurut BNM, sedikit peningkatan dalam inflasi keseluruhan sebahagian besarnya mencerminkan perkembangan harga barangan bukan teras, terutamanya sayur-sayuran dan elektrik.
“Peningkatan harga elektrik mencerminkan pelaksanaan surcaj berikutan kos penjanaan lebih tinggi,” katanya sambil menambah bahawa tekanan sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi tambang penerbangan domestik dan bahan api runcit, terutamanya RON97 dan diesel.
Sementara itu, ia berkata kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat 6.4 peratus pada Mei daripada 5.8 peratus pada April, didorong terutamanya oleh perniagaan, seperti yang dicerminkan oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam bon korporat terkumpul dan pinjaman perniagaan terkumpul.
BNM berkata bon korporat terkumpul berkembang sebanyak 8.0 peratus daripada 6.2 peratus pada April, manakala pinjaman perniagaan terkumpul meningkat 7.0 peratus daripada 6.2 peratus sebelumnya.
Katanya, pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat terutamanya bagi keperluan modal kerja, manakala pertumbuhan bagi pinjaman berkaitan pelaburan secara amnya kekal stabil.
“Pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada 5.5 peratus, di tengah-tengah pertumbuhan pinjaman yang stabil merentasi kebanyakan tujuan,” tambahnya.
Bagi sektor sebenar, BNM berkata Indeks Pengeluaran Perkilangan mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.3 peratus pada April, berbanding 5.5 peratus pada Mac.
Katanya, kelompok berorientasikan eksport berkembang sebanyak 8.5 peratus daripada 6.7 peratus sebelumnya, didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi bagi produk elektrik dan elektronik serta produk berkaitan sumber seperti petroleum ditapis dan kimia.
Menurut BNM, pertumbuhan dalam kelompok berorientasikan domestik turut mengukuh 8.0 peratus daripada 2.8 peratus pada Mac, sekali gus mencerminkan pengeluaran lebih tinggi bagi kenderaan bermotor, produk pemprosesan makanan dan bahan berkaitan pembinaan.
BNM berkata kualiti aset perbankan kekal kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara amnya tidak berubah masing-masing pada 1.4 peratus dan 1.0 peratus, disokong oleh rosot nilai yang stabil dan pertumbuhan pinjaman yang mampan.
Bank pusat itu menambah sistem perbankan turut mengekalkan penampan mudah tunai yang mencukupi, untuk menghadapi kemungkinan kejutan mudah tunai dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 149.2 peratus.
Mengenai pasaran kewangan, BNM berkata sentimen pasaran global terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan berkaitan konflik di Asia Barat dan jangkaan terhadap laluan kadar dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), walaupun sentimen itu bertambah baik sedikit berikutan keyakinan terhadap potensi penyelesaian konflik pada bulan tersebut.
“Di tengah-tengah perkembangan global itu, ringgit menambah nilai sedikit sebanyak 0.1 peratus berbanding dolar AS, dan secara amnya mengatasi prestasi mata wang serantau yang lain,” katanya.
Tambah BNM, hasil penanda aras Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun secara amnya kekal stabil, manakala FTSE Bursa Malaysia KLCI merosot 2.3 peratus di tengah-tengah aliran keluar bukan pemastautin.
-- BERNAMA