POLITIK

Malaysia Perkukuh Mekanisme Pengurusan Pelarian Seiring Keselamatan, Kedaulatan Negara - Ahmad Zahid

30/06/2026 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Krisis pelarian global semasa menuntut Malaysia memperkukuh mekanisme pengurusan sedia ada bagi memastikan tanggungjawab kemanusiaan berjalan seiring dengan keutamaan keselamatan serta kedaulatan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu penting memandangkan dunia kini berdepan krisis pelarian yang semakin mencabar, dengan lebih 122 juta individu dipindahkan secara paksa akibat konflik dan ketidakstabilan global.

“Keadaan ini menuntut setiap negara, termasuk Malaysia, mempunyai dasar yang jelas serta mekanisme pengurusan yang mampu mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kedaulatan negara.

“Saya percaya pengurusan pelarian bukan hanya tentang soal pentadbiran, tetapi juga soal menjaga keselamatan negara, khususnya dalam memelihara ketenteraman awam dan memastikan setiap keputusan yang diambil sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat serta kedaulatan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman di Facebook hari ini. 

Terdahulu hari ini beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (JTPPPS) kali ke-6 bagi meneliti pelaksanaan dasar serta mekanisme pengurusan pelarian di Malaysia agar terus dilaksanakan secara lebih sistematik dan selaras dengan kepentingan negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata mesyuarat itu turut memperhalusi pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) serta penyelarasan garis panduan akses pendidikan dan kesihatan agar lebih teratur, berlandaskan undang-undang dan mudah diselaras oleh agensi berkaitan.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata pengurusan pelarian merupakan antara isu rentas sempadan yang semakin kompleks dan memerlukan pendekatan yang jelas, tersusun serta berpandangan jauh. 

Beliau berkata isu itu bukan sahaja melibatkan aspek kemanusiaan, malah turut memberi implikasi terhadap tadbir urus, penyelarasan agensi dan kesejahteraan negara dalam jangka panjang.

“Dalam mesyuarat ini (JTPPPS) kami turut memperhalusi beberapa agenda utama bagi memastikan pelaksanaan dasar lebih tersusun, jelas dari segi tanggungjawab setiap agensi dan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Saya yakin pendekatan yang terancang dan diselaraskan mampu memastikan setiap keputusan dilaksanakan secara lebih berkesan. Apa juga dasar yang digubal perlu mengambil kira keseimbangan antara tanggungjawab kemanusiaan, keupayaan negara serta kepentingan nasional demi menjamin kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran di laman Facebook berkata  Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa melihat isu berkenaan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan negara.

Beliau berkata walaupun KDN memahami tuntutan kemanusiaan berkaitan isu itu, aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara tetap menjadi keutamaan.

“Banyak perkara penting dibincangkan (dalam mesyuarat JTPPPS)  khususnya berkaitan usaha memperkemas pengurusan pelarian dan pemohon suaka di negara ini supaya lebih teratur, terselaras dan mengambil kira realiti serta cabaran yang sedang kita hadapi.

“(Selain itu ia) turut menyentuh pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) serta beberapa cadangan penambahbaikan melibatkan penyelarasan antara kementerian dan agensi,” katanya. 

Saifuddin berkata sebarang pendekatan yang diambil perlu jelas, tersusun dan dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh semua pihak.

“Insya-Allah, KDN akan terus memainkan peranan sebaik mungkin bagi memastikan setiap dasar dan keputusan yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan teratur, demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574891