KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Sebarang permohonan tambahan dana daripada kerajaan negeri bagi projek pembangunan yang melibatkan Notice of Change (Notis Perubahan - NOC) perlu dirunding semula sebelum keputusan mengenai peruntukan atau pinjaman tambahan dibuat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata proses itu perlu dilaksanakan kerana NOC membawa implikasi kewangan tambahan dan memerlukan penelitian terhadap pelbagai aspek termasuk sama ada peningkatan kos berpunca daripada pihak kontraktor.
Anwar berkata Kerajaan Persekutuan tidak boleh 'terikat’ dengan keputusan kerajaan negeri apabila timbul keperluan kos tambahan, sebaliknya setiap permohonan perlu dinilai sebelum sebarang keputusan mengenai peruntukan atau pinjaman diputuskan.
"Bila ada Notice of Change, ia melibatkan dana tambahan, jadi ia kena dirunding semula. Pertama, kita perlu melihat peranan kontraktor dan punca sebenar masalah yang timbul.
“Kedua, apabila ada penambahan (dana) ia melibatkan Persekutuan, dan Persekutuan tidak boleh terikat dengan keputusan (kerajaan) negeri (sehingga) bila ada masalah, secara automatik perlu diberikan peruntukan atau pinjaman tambahan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung permohonan tambahan peruntukan bagi projek Loji Rawatan Air (LRA) Pulau Bunting di Kedah yang memerlukan kelulusan NOC.
Beliau bagaimanapun berkata penjelasan terperinci mengenai perkara itu akan diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam perkembangan lain, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa mengadakan rundingan selain terus mengimbangi tuntutan perkongsian hasil daripada negeri berdasarkan keperluan pembangunan serta projek kritikal
"Perkongsian hasil itu terus dirundingkan. Kalau ditanya mengapa beberapa kawasan seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak mendapat peningkatan tinggi, itu kerana beberapa projek yang mendesak.
"Di Kelantan, projek tebatan banjir diberi keutamaan, manakala di Sabah dan Sarawak melibatkan prasarana asas termasuk lebuh raya, tebatan banjir serta beberapa projek yang dianggap kritikal untuk pembangunan," katanya.
Beliau berkata dalam masa sama kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan beberapa kawasan strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Krian di utara Perak, Kuching dan Sabah.
"Sarawak adalah satu negeri yang agak ke depan dari segi usaha dalam pusat data, teknologi maklumat (IT) dan juga pembikinan cip dengan beberapa kepakaran negara asing. Hal-hal itu kalau diberikan tumpuan, sendirinya akan melonjak pertumbuhan," katanya, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai tuntutan hasil cukai negeri.
-- BERNAMA