POLITIK

PRN Johor: Agenda Warga Emas, Keluarga Dan Komuniti Jadi Keutamaan Kartiyaini Di Skudai

30/06/2026 11:21 AM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Status anak jati Skudai memberikan kelebihan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, J. Kartiyaini untuk memahami denyut nadi penduduk setempat, khususnya berkaitan keperluan warga emas.

Peguam berusia 37 tahun itu berkata pengalaman membesar di Taman Sri Skudai banyak membentuk visinya untuk memastikan pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut lebih mesra warga emas dan keluarga.

“Saya masih tinggal di Skudai dan ibu bapa saya juga masih di sini. Oleh itu, saya selalu tertanya-tanya apabila kita membina sesuatu kemudahan, adakah kita benar-benar memikirkan keperluan mereka?

“Apabila kita menaik taraf kawasan perumahan, adakah kita meletakkan mereka sebagai keutamaan? Saya mahu melihat Skudai menjadi kawasan yang benar-benar mesra warga emas,” katanya kepada Bernama.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata hampir 30 peratus atau kira-kira 31,722 penduduk Skudai kini berusia 55 tahun ke atas sekali gus menuntut penyediaan lebih banyak kemudahan awam dan program yang memenuhi keperluan golongan tersebut.

Lulusan undang-undang Universiti Malaya itu berkata keutamaannya adalah untuk meneliti kemudahan awam secara menyeluruh termasuk menambah baik hentian bas agar lebih selesa dan mudah diakses.

Selain itu, Kartiyaini berhasrat mewujudkan lebih banyak aktiviti mingguan bagi memastikan warga emas terus aktif dan menjalani kehidupan bermakna selepas bersara.

Mesra disapa Karti dalam kalangan penduduk setempat, beliau juga mahu memperbanyak program komuniti seperti karnival dan ruang riadah berhampiran kawasan perumahan untuk mengeratkan hubungan keluarga.

“Pendekatan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan tetapi juga membantu ibu bapa menyediakan aktiviti bermanfaat kepada anak pada masa lapang dan cuti sekolah tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pusat beli-belah sebagai lokasi rekreasi,” katanya.

Meskipun DUN Skudai kerusi tradisi PH, Kartiyaini mengakui landskap politik semasa menuntut wakil rakyat untuk sentiasa menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang untuk mengekalkan kepercayaan pengundi.

Selain itu, pengalaman berkhidmat di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling dan Setiausaha Politik kepada ADUN Buntong, Perak dari 2022 hingga 2024 memberikan keyakinan kepada Kartiyaini untuk menawarkan perkhidmatan dengan lebih berkesan kepada penduduk Skudai.

Beliau berhasrat meneruskan pendekatan turun padang dan menyediakan perkhidmatan merentas kaum yang menjadi asas kekuatan PH selain memperkenalkan sistem pengurusan aduan yang lebih tersusun bagi memastikan setiap aduan dipantau sehingga selesai.

DUN Skudai yang mempunyai 106,805 pengundi menyaksikan Kartiyaini berhadapan saingan empat penjuru menentang Tan Hiang Kee daripada Barisan Nasional (BN), Eugene Chua Meng Chong (Bersama) dan Amir Syafiq Ameer Soekre (Parti Sosialis Malaysia - PSM). 

PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai manakala pengundian awal pada 7 Julai. 

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA

 

N48: SKUDAI : 106,805

1. Tan Hiang Kee (BN-MCA)

2. Kartiyaini Jeyapalan (PH-DAP)

3. Eugene Chua Meng Chong (Bersama)

4. Amir Syafiq Ameer Soekre (PSM)

 

(2022: Marina Ibrahim: PH-DAP: Maj: 13,943)

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574758