AM

LBS Foundation Lancar "Project AKAR" Sokong Pembangunan Pelajar Secara Holistik

29/06/2026 09:07 PM

PETALING JAYA, 29 Jun (Bernama) -- LBS Foundation (LBSF), sayap tanggungjawab sosial korporat pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad melancarkan “Project AKAR”, sebuah program sekolah angkat yang bermatlamat menyokong pembangunan pelajar secara menyeluruh.

Dalam kenyataan hari ini, yayasan berkenaan memaklumkan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) strategik berkenaan, pihaknya akan melaksanakan program sekolah angkat melibatkan sebuah sekolah setiap kitaran tiga tahun, yang berteraskan tiga fokus utama iaitu infrastruktur, pembelajaran dan kelestarian.

“Kesemua bidang tumpuan itu dirangka bagi menambah baik persekitaran sekolah, mempertingkat peluang pembelajaran serta memupuk amalan kelestarian yang memberikan manfaat berterusan kepada pelajar dan komuniti sekolah secara keseluruhan.

“Tahun ini, Sekolah Kebangsaan Sungei Way, di sini telah dipilih sebagai penerima manfaat pertama di bawah program terbabit, selaras dengan peranan penting yayasan dalam memperkukuh hasil pendidikan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan inklusif," menurut kenyataan itu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah LBSF Tan Sri Dr Lim Hock San berkata projek berkenaan mencerminkan komitmen yayasan itu dalam memupuk minda generasi muda serta mewujudkan peluang yang melangkaui bilik darjah, di samping memastikan setiap kanak-kanak mendapat sokongan dan persekitaran diperlukan untuk berkembang serta mencapai potensi sepenuhnya.

“Di LBSF, kami percaya perubahan yang bermakna bermula pada peringkat komuniti, khususnya melalui pendidikan. ‘AKAR’ melambangkan kanak-kanak sebagai asas yang menjadi tunjang kepada masa depan negara,” katanya menerusi kenyataan sama.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia juga menerusi kenyataan sama berkata inisiatif berkenaan amat bermakna dalam usaha memperkukuh pendidikan dan pembangunan belia.

“Inisiatif ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti serta mewujudkan impak sosial jangka panjang," katanya sambil berharap agar lebih banyak kerjasama berimpak dapat dijalin antara sektor korporat dan institusi pendidikan pada masa akan datang.

Pada pelancaran ‘Project AKAR’ (Kesedaran, Pengetahuan, Tindakan dan Ketahanan) pada 25 Jun lepas itu turut menyaksikan penanaman pokok secara simbolik oleh Lim dan Mohammad Fahmi sebagai tanda komitmen bersama terhadap kelestarian dan pembangunan generasi masa hadapan.

Sebagai sebahagian daripada program, yayasan berkenaan memberi sokongan kepada pihak sekolah dengan menyediakan keperluan alat tulis dan kelengkapan persekolahan, selain melaksanakan kerja-kerja pembaikan infrastruktur utama sekolah seperti pintu dan penghadang tangga.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574646