SHAH ALAM, 29 Jun (Bernama) -- Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati, Kuala Selangor bakal dibuka semula kepada orang ramai bermula Rabu ini (1 Julai).
Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) memaklumkan, pengoperasian semula muzium dilakukan selepas penutupan sementara bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan fasiliti untuk memastikan aspek keselamatan, keselesaan serta pengalaman lawatan yang lebih baik kepada pengunjung.
“Muzium ini dibuka kepada pengunjung pada Selasa hingga Ahad dari 9.30 pagi hingga 5.30 petang, dengan kemasukan terakhir pada 4.30 petang.
“Bayaran masuk hanyalah RM3.00 bagi setiap pengunjung dewasa warga tempatan, manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah diberikan kemasukan secara percuma,” menurut kenyataan PADAT itu.
Dalam usaha memperkaya pengalaman lawatan, muzium itu turut mengadakan demonstrasi permainan tradisional di ruang interaktif mengikut jadual yang ditetapkan.
“Aktiviti ini memberi peluang kepada pengunjung bagi menyaksikan serta mencuba sendiri pelbagai permainan tradisional dalam suasana santai, sekali gus menghayati keunikan warisan budaya negara melalui pengalaman secara langsung.
“Dengan pembukaan semula muzium ini juga diharap dapat menghidupkan kembali aktiviti pelancongan warisan di Bukit Malawati, Kuala Selangor serta memberi peluang kepada masyarakat untuk terus mengenali dan menghargai warisan permainan tradisional negara,” menurut kenyataan itu.
Di samping itu, Muzium Permainan Tradisional itu merupakan satu-satunya muzium di Malaysia yang mengetengahkan warisan permainan tradisional masyarakat tempatan melalui pelbagai koleksi, pameran dan bahan interpretasi yang menarik.
“Muzium ini berperanan sebagai medium pendidikan dalam memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda, di samping memupuk penghargaan terhadap nilai budaya, kreativiti dan semangat kebersamaan yang menjadi identiti masyarakat Malaysia sejak dahulu lagi.
“PADAT sentiasa komited dalam memperkasakan institusi permuziuman sebagai pusat pendidikan, pemeliharaan warisan dan tarikan pelancongan budaya di Selangor,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA