KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Tiga saintis muda dipilih untuk mewakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-75 yang berlangsung di Lindau, Jerman dari 28 Jun hingga 3 Julai, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
MOSTI dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka ialah pensyarah di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nur Liyana Mohammed Yusof, 34, dan dua daripada Universiti Malaya, iaitu felo penyelidik pascakedoktoran di Jabatan Fizik Dr Pershaanaa K. Manogran, 29, serta felo pascakedoktoran di Institut Samudera dan Sains Bumi Dr Ruth Naomi Manuel, 31.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata penyertaan Malaysia dalam platform saintifik global seperti Mesyuarat Nobel Laureate Lindau mencerminkan komitmen kerajaan untuk memupuk bakat sedia masa depan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) 2026–2030.
“RMK13 memberi penekanan kuat terhadap pembangunan bakat sedia masa depan merentasi kontinum pembelajaran termasuk melalui pendedahan yang lebih luas kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kemahiran digital serta teknologi baharu seperti kecerdasan buatan.
“Penyertaan dalam program seperti Mesyuarat Nobel Laureate Lindau memberi saintis muda kita pendedahan global, rangkaian dan perspektif yang penting untuk memperkukuh inovasi, daya saing negara dan pertumbuhan bernilai tinggi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kepada Perdana Menteri Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen menyifatkan program itu sebagai platform penting untuk memupuk kepimpinan saintifik dan memperkukuh ekosistem penyelidikan Malaysia.
“Dengan menghubungkan saintis muda kita dengan penerima Hadiah Nobel dan rakan penyelidik dari seluruh dunia, kita membolehkan bakat Malaysia terlibat dalam pertukaran saintifik pada peringkat tinggi, membina kerjasama yang bermakna dan menyumbang kepada penyelesaian bagi cabaran global dan negara yang kompleks,” katanya.
Delegasi Malaysia akan menyertai lebih 600 saintis muda dan kira-kira 75 pemenang Hadiah Nobel dari seluruh dunia bagi edisi ulang tahun pertemuan antara disiplin itu, yang bertemakan Resilience, Information, Integrity and Life, mencerminkan cabaran saintifik hari ini semakin melangkaui sempadan disiplin tradisional.
Setakat ini, sebanyak 92 saintis Malaysia telah menyertai program itu melalui pencalonan ASM, meletakkan Malaysia dalam rangkaian global Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang merangkumi lebih 200 rakan akademik dan institusi saintifik terkemuka.
Dianjurkan setiap tahun oleh Majlis Mesyuarat Nobel Laureate Lindau, program itu menawarkan peluang kepada penyelidik muda untuk berinteraksi secara langsung dengan pemenang Hadiah Nobel melalui pelbagai pengisian dan aktiviti rangkaian yang menggalakkan kerjasama antara disiplin serta penglibatan antarabangsa.
-- BERNAMA