AM

800 Lori Tiada Subsidi, KDEBWM Tanggung Kos Diesel RM5 Juta Sebulan

29/06/2026 04:39 PM

SHAH ALAM, 29 Jun (Bernama) -- KDEB Waste Management (KDEBWM) berdepan tekanan kewangan apabila terpaksa menanggung kos operasi diesel mencecah RM5 juta sebulan bagi memastikan perkhidmatan kutipan sampah di seluruh Selangor tidak terjejas.

Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir berkata kenaikan mendadak harga diesel pasaran telah membebankan syarikat milik kerajaan negeri itu, terutamanya bagi operasi 800 lori Roll-on Roll-off (Roro) yang tidak menerima sebarang subsidi berjadual.

“Saya merayu kepada kerajaan untuk mendengar aduan kami bahawa 800 lori Roro milik KDEBWM tidak mendapat apa-apa bantuan subsidi. Bayangkan sebelum ini harga diesel pernah melonjak sehingga mencecah paras RM6.02, malah pernah menyentuh RM6.72 seliter.

“Jika kami layak mendapat subsidi berjadual seperti kontraktor lain, kami hanya perlu membayar RM1.99 seliter, namun hingga hari ini rayuan untuk Roro kami kepada Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tiada jawapan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KDEBWM, di sini hari ini.

Beliau berkata ketiadaan akses kepada bahan api bersubsidi untuk sebahagian besar kenderaan syarikat pengurusan sisa itu memaksa pihak pengurusan menanggung beban kenaikan kos tambahan sebanyak RM5 juta setiap bulan berbanding perbelanjaan asal kira-kira RM2.5 juta.

Beliau berkata situasi kini menjadi semakin mencabar apabila bayaran perkhidmatan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) lazimnya hanya diterima selepas tempoh 60 hari hingga 75 hari, sekali gus memberikan tekanan kepada aliran tunai operasi harian.

"Kami bukan mengutip emas, bijih timah atau minyak untuk dijual bagi meraih keuntungan, sebaliknya kami ialah pembekal perkhidmatan awam bagi pihak kerajaan yang menjalankan tugas pembersihan.

"Apabila harga minyak meningkat lebih 100 peratus, syarikat tidak lagi mampu mengekalkan kekerapan tiga perjalanan sehari bagi setiap kenderaan Roro kerana tiada peruntukan untuk menanggung kos perjalanan tambahan tersebut," katanya.

Sehubungan dengan itu, Ramli berkata pihaknya akan terus berusaha memohon pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan pusat agar Roro turut tersenarai sebagai kenderaan yang layak menerima subsidi diesel demi kelangsungan perkhidmatan rakyat.

Dalam perkembangan lain, KDEBWM kini giat melipatgandakan persiapan bagi memastikan kebersihan semua venue temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Selangor pada Ogos ini berada pada tahap terbaik.

"Kami menjangkakan lonjakan migrasi sementara kira-kira 150,000 orang termasuk atlet dan penyokong akan membanjiri Selangor, sekali gus menyebabkan jumlah sisa pepejal di lokasi pertandingan meningkat sekali ganda daripada kadar harian biasa.

"Pasukan kami telah bersiap sedia untuk meningkatkan kekerapan kutipan serta sanggup melaksanakan operasi bagi mengendalikan purata sampah yang dijangka meningkat setiap sehari di lokasi terlibat," katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata pihaknya telah mengambil inisiatif melakukan mobilisasi aset tambahan termasuk meletakkan lebih banyak tong Roro dan MGB240 di kawasan tumpuan ramai.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya memainkan peranan penting dengan menjaga kebersihan serta membuang sisa di tempat yang disediakan demi memastikan imej Selangor sebagai tuan rumah kekal terpelihara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574488