PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Anak syarikat Nexgram Holdings Bhd, Neu Nexus Century City Sdn Bhd (NNCC), hari ini memulakan pembangunan Neu Nexus Century City di Cyberjaya, sebuah projek pembangunan infrastruktur, tenaga dan guna campur kecerdasan buatan (AI) dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM2 bilion.
NNCC memaklumkan bahawa projek itu dijangka mencapai nilai perusahaan kira-kira RM6.1 bilion apabila platform matang sepenuhnya dan distrukturkan sebagai infrastruktur AI yang boleh diperkembangkan dan ekosistem komersial guna campur.
“NNCC Power Superblock dijangka merangkumi dua pusat data sedia AI, menara tenaga hijau dan AI yang dicadangkan, komponen hotel dan kediaman, ruang pejabat korporat, kemudahan konvensyen dan pameran, kemudahan kesihatan, hab inovasi dan rantaian blok, kemudahan gaya hidup serbaguna, serta kemudahan komersial sokongan.
“Komponen pusat data dicadangkan merangkumi dua kemudahan sedia AI 20 megawatt, direka untuk menyokong pengkomputeran AI berdaulat, penggunaan AI perusahaan, pengkomputeran berprestasi tinggi, aplikasi robotik, automasi pintar, pengehosan ejen humanoid dan permintaan infrastruktur digital generasi akan datang,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sempena majlis pecah tanah itu, NNCC dan pihak-pihak projek berkaitan, dua memorandum perjanjian (HOA) dan dua memorandum persefahaman untuk mandat pelaburan turut dimeterai dengan nilai indikatif agregat kira-kira RM1.23 bilion.
Menurut kenyataan itu, ia terdiri daripada HOA hotel dan kediaman yang dicadangkan bernilai RM280 juta antara NNCC dan Croske Hotels Management Services Sdn Bhd, HOA pengambilan token pusat data AI bernilai RM200 juta dicadangkan, mandat pelaburan infrastruktur pusat data NNDC-I bernilai RM250 juta dicadangkan dan mandat pengumpulan dana NNCC Power Superblock bernilai RM500 juta yang dicadangkan.
“Pengaturan (kerjasama) ini bertujuan untuk memperkukuh pengesahan komersial awal merentasi komponen utama NNCC, termasuk hospitaliti, penggunaan pusat data AI, pelaburan infrastruktur dan pembentukan modal institusi,” menurut kenyataan itu.
NNCC juga dijangka menggabungkan konsep infrastruktur yang mampan dan bersedia untuk masa depan, termasuk pengoptimuman tenaga pintar, kecekapan operasi yang dikuasakan AI, sistem bangunan pintar dan perancangan pembangunan yang sejajar dengan objektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) jangka panjang dan bandar pintar.
Pengumuman seterusnya berkaitan dengan kerjasama strategik, komitmen pelanggan, penyertaan pembiayaan, pencapaian pembangunan dan fasa pelaksanaan dijangka dikeluarkan secara progresif apabila projek ini berjalan.
“Syarikat ini percaya permulaan NNCC, NNCC Power Superblock dan pengaturan strategik berkaitan menandakan langkah penting ke arah membina platform sedia untuk masa hadapan yang mampu menyokong penyertaan Malaysia dalam ekonomi infrastruktur AI ASEAN, transformasi digital perusahaan dan pembangunan bandar pintar generasi akan datang,” menurut NNCC.
-- BERNAMA