AM

Program Nikmat Untuk Rakyat, NUR@PETRA 2026 Bermula Julai

29/06/2026 02:36 PM

PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) akan melaksanakan Program Nikmat Untuk Rakyat (NUR@PETRA) tahun 2026 bagi Kategori Domestik bermula Julai ini.

Pelaksanaan program itu sebahagian daripada langkah kerajaan membantu rakyat menghadapi cabaran krisis bekalan berikutan peningkatan kos tenaga dan ketidaktentuan pasaran tenaga global akibat konflik geopolitik di Asia Barat selain merealisasikan agenda peralihan tenaga negara.

PETRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah 160,000 unit rebat bernilai RM32 juta untuk pelaksanaan program tersebut.

“Pengguna domestik yang layak boleh menikmati rebat sebanyak RM200 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga yang mempunyai label kecekapan tenaga empat atau lima bintang daripada Suruhanjaya Tenaga (ST),” menurut kenyataan itu. 

Permohonan rebat bagi Kategori Domestik dibuka bermula 1 Julai 2026.

PETRA memaklumkan pelaksanaan program NUR@PETRA Domestik dijangka dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 552.25 gigawatt-jam (GWh) bersamaan penjimatan kos sebanyak RM250.72 juta bagi tempoh lima tahun. 

“Program ini juga dijangka menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 408,655 tan CO2eq (Carbon Dioxide Equivalent) tertakluk kepada jangka hayat dan tahap kecekapan pengoperasian peralatan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, kaedah permohonan, mekanisme pelaksanaan dan senarai jenama serta model peralatan elektrik cekap tenaga di bawah Program NUR@PETRA 2026 boleh diperoleh di laman sesawang rasmi SEDA Malaysia di www.seda.gov.my/nur.

Pelaksanaan Program NUR@PETRA Domestik antara lain bertujuan menggalakkan pengguna domestik beralih kepada penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga, khususnya penyaman udara dan peti sejuk.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574386