AM

Penduduk Langkawi Lega Penantian Ambulans Laut Bakal Berakhir

29/06/2026 02:08 PM

LANGKAWI, 29 Jun (Bernama) -- Langkah kerajaan menyediakan perkhidmatan ambulans laut yang dijangka mula beroperasi awal tahun depan melegakan penduduk Langkawi kerana meningkatkan akses kepada rawatan kecemasan, khususnya bagi pesakit yang perlu dirujuk ke hospital di tanah besar.

Pengerusi Peniaga-Peniaga Kecil Langkawi Yusuf Zakaria, 60, berkata penyediaan ambulans laut oleh kerajaan itu inisiatif yang amat dialu-alukan oleh penduduk setempat. 

Yusuf berkata ketika ini terdapat perkhidmatan ambulans air yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun beliau tidak mengetahui secara terperinci prosedur operasi perkhidmatan tersebut.

“Dengan adanya ambulans laut yang disediakan kerajaan, saya yakin perkhidmatannya akan lebih teratur dan mengikut prosedur yang dapat memastikan keselamatan pesakit,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kontraktor Muhamad Hafiz Abdul Jalil, 48, berkata perkhidmatan itu amat diperlukan kerana penduduk Langkawi sebelum ini berhadapan kesukaran membawa pesakit ke tanah besar untuk mendapatkan rawatan.

Muhamad Hafiz berharap inisiatif itu dapat direalisasikan mengikut perancangan supaya penduduk tidak lagi bergantung pada perkhidmatan feri untuk membawa pesakit ke tanah besar.

“Sebelum ini memang amat susah apabila tiada ambulans laut. Kami terpaksa bergantung pada feri yang mungkin tidak sesuai untuk membawa pesakit tertentu,” katanya.

Sementara itu peniaga Masri Ahmad, 61, berkata penyediaan ambulans laut telah lama dinantikan oleh penduduk Langkawi, terutamanya bagi menghadapi situasi kecemasan pada waktu malam apabila feri tidak beroperasi.

Masri berkata kemudahan itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada penduduk, malah turut membantu pelancong yang memerlukan rawatan kecemasan ketika berada di pulau peranginan tersebut.

“Penduduk Langkawi amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memang sudah lama kami nantikan, sejak dahulu lagi.  Bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk, malah juga kepada pelancong,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan Kementerian Kewangan memperuntukkan RM5.5 juta bagi pembelian ambulans laut Langkawi dan menampung kos operasi awal perkhidmatan itu yang dijangka bermula awal tahun depan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574382