DUNIA

Korea Selatan, Jepun Setuju Perluas Kerjasama Pertahanan, Termasuk Bidang AI

28/06/2026 05:19 PM

SEOUL, 29 Jun (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan dan Jepun bersetuju meneruskan usaha memperkukuh pertukaran serta kerjasama pertahanan dua hala, termasuk dalam bidang teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), lapor Agensi Berita Yonhap.

Komitmen itu dicapai susulan pertemuan antara Menteri Pertahanan Korea Selatan Ahn Gyu-back dan rakan sejawatnya dari Jepun, Shinjiro Koizumi, di Seoul ketika kedua-dua negara berusaha memperkukuh kerjasama pertahanan selepas hubungan dua hala yang semakin baik.

"Kedua-dua menteri bersetuju untuk terus memajukan pertukaran dan kerjasama antara pasukan aerobatik kedua-dua negara iaitu Black Eagles dari Korea Selatan dan Blue Impulse dari Jepun

"Kedua-duanya juga bersetuju mempertingkat latihan mencari dan menyelamat bagi menghadapi pelbagai kemungkinan kecemasan di laut serta memperluas kerjasama dalam bidang sains dan teknologi termaju, termasuk AI," menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan itu.

Koizumi tiba di Seoul sehari sebelumnya bagi lawatan rasmi selama dua hari, yang juga lawatan pertamanya sebagai menteri pertahanan. 

Lawatan itu dibuat selepas kunjungan Ahn ke Jepun pada Januari lalu untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya.

Ia berlangsung ketika kedua-dua negara berusaha memanfaatkan momentum positif dalam hubungan pertahanan bagi mengukuhkan lagi kerjasama.

Rujukan kepada pasukan aerobatik dan latihan mencari dan menyelamat dalam kenyataan bersama itu dilihat mencerminkan kesediaan kedua-dua negara untuk memperluas interaksi dalam bidang bukan tempur, berbanding kerjasama ketenteraan secara langsung yang masih dianggap sensitif oleh ramai rakyat Korea Selatan berikutan sejarah penjajahan Jepun ke atas Korea dari 1910 hingga 1945.

Awal bulan ini, kedua-dua negara menyambung semula latihan bersama mencari dan menyelamat maritim (SAREX) buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun selepas menyelesaikan pertikaian pada 2018 berhubung tindakan sebuah pesawat rondaan Jepun yang terbang pada altitud rendah berhampiran sebuah kapal perang Korea Selatan.

Komitmen untuk memperluas kerjasama antara pasukan aerobatik kedua-dua negara turut dilihat sebagai satu lagi perkembangan positif.

Pada Sabtu, Koizumi dan Ahn turut melawat unit Black Eagles di sebuah pangkalan udara di Wilayah Gangwon.

Dalam pertemuan pada Ahad, kedua-dua menteri turut menegaskan semula komitmen terhadap pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea serta usaha mewujudkan keamanan berkekalan di rantau itu.

"Kedua-dua menteri berpandangan kerjasama perlu diteruskan bagi menjamin keamanan dan kestabilan serantau dalam keadaan landskap keselamatan yang semakin mencabar.

"Mereka juga bersetuju untuk meneruskan penyelarasan di peringkat dua hala serta tiga hala melibatkan Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun," menurut kenyataan itu.

Pertemuan itu berlangsung kurang sebulan selepas kedua-dua menteri bertemu di luar acara forum keselamatan di Singapura.

Selepas pertemuan itu, mereka dijadual menyertai sesi dialog bersama golongan belia dari kedua-dua negara di sebuah badan pemikir pertahanan sebelum mengadakan perlawanan persahabatan ping pong sebagai simbol hubungan erat antara kedua-dua negara.

Menurut sumber diplomatik, Koizumi turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun pada hari sama.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574113