BATU PAHAT, 28 Jun (Bernama) -- Johor perlu kekal sebagai kubu kuat dan simpanan tetap politik bagi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kemenangan BN di Johor bakal menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula UMNO dan BN secara nyata, sekali gus membuktikan kekuatan parti yang kini mencecah usia 80 tahun itu.
"Kemenangan calon BN penting bagi merealisasikan aspirasi itu dan ia menuntut komitmen tinggi daripada seluruh jentera," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN bagi DUN Parit Yaani dan Parit Raja di Dataran Tanjung Simpang, di sini, hari ini.
Beliau berkata gelombang pemulihan pengaruh BN harus dipacu secara menyeluruh di negeri itu bagi membuktikan kekuatan sokongan akar umbi yang sedia ada.
Sementara itu, mengulas dakwaan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa BN mengetengahkan calon "kitar semula", Ahmad Zahid menyifatkan ia sebagai pandangan peribadi.
Beliau juga menggesa semua pihak meletakkan "tanda noktah" terhadap isu berkenaan bagi mengelakkan pertelingkahan berpanjangan yang boleh menjejaskan keharmonian parti.
“Sebagai sahabat saya mengharapkan beliau tidak membangkitkan sebarang isu yang akhirnya nanti ada pihak membalasnya, saya tidak mahu perkara-perkara yang aib dibangkitkan.
"Saya nasihatkan semua pihak, bukan beliau sahaja tetapi pihak di dalam UMNO supaya tidak membuat sebarang serangan balas jika isu-isu itu terus dibangkitkan,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata sebarang cubaan menyekat kempen parti itu tidak akan menggoyahkan kesetiaan pengundi di Johor yang disifatkannya sudah sebati dengan perjuangan BN.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, boleh layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA