DUNIA

Simposium Hari Afrika 2026 Perkukuh Hubungan Afrika-Malaysia

28/06/2026 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Misi-misi Diplomatik Afrika di Malaysia akan memperingati Hari Afrika 2026 menerusi penganjuran sebuah simposium di Sunway University pada 2 Julai bagi memperkukuh hubungan dalam pelbagai bidang kerjasama.

Menurut kenyataan mengenai acara itu, simposium bertemakan "Pendidikan, Perdagangan dan Pelaburan" akan dianjurkan bersama oleh 19 misi diplomatik dari benua Afrika.

"Selaras dengan Agenda 2063 Kesatuan Afrika (AU) yang bertujuan mencapai pembangunan sosial dan ekonomi yang inklusif serta mampan, selain mengambil kira hubungan Afrika yang semakin berkembang dengan Asia Tenggara, Negara-Negara Selatan Global (Global South), khususnya Malaysia, sambutan Hari Afrika di Malaysia bertujuan membina perkongsian yang saling menguntungkan dengan negara tuan rumah bagi membantu merealisasikan matlamat berkenaan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Simposium Hari Afrika 2026 yang bertujuan memperkukuh hubungan dengan Malaysia akan menampilkan enam ahli panel, yang terdiri daripada empat ketua misi diplomatik Afrika serta masing-masing seorang wakil daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Education Malaysia Global Services (EMGS).

"Acara itu juga akan mengetengahkan kepelbagaian budaya, seni dan makanan dari seluruh benua Afrika," menurut kenyataan itu.

Hari Afrika disambut setiap tahun bagi memperingati penubuhan Pertubuhan Perpaduan Afrika (OAU), yang kini dikenali sebagai Kesatuan Afrika (AU), pada 25 Mei 1963.

Sambutan itu meraikan kekayaan warisan budaya benua Afrika, ketabahan rakyatnya serta usaha berterusan ke arah keamanan, pembangunan dan kerjasama demi manfaat rakyat Afrika serta masyarakat keturunan Afrika di seluruh dunia.

Menurut kenyataan itu, hari bersejarah berkenaan bukan sahaja penting kepada masyarakat Afrika, malah kepada masyarakat antarabangsa yang mengiktiraf sumbangan besar yang telah dan terus diberikan benua itu kepada komuniti global.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574029