SEMPORNA, 28 Jun (Bernama) -- Perahu lepa yang megah belayar pada perayaan tahunan Regatta Lepa di sini bukan sekadar tradisi maritim, tetapi platform penting memperkenalkan warisan budaya ke mata dunia serta membentuk identiti masyarakat setempat.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata penganjuran edisi ke-31 selama tiga hari yang berakhir hari ini, telah berkembang menjadi antara acara kebudayaan dan pelancongan paling berprestij serta mendapat pengiktirafan meluas pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Jafry berkata kepelbagaian aktiviti tradisional seperti pertandingan perahu lepa hiasan, sukan laut, perlumbaan perahu, pameran, Malam Sangom Maglami-Lami, Larian Lepa dan pertandingan Ratu Lepa berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat dan pelancong ke daerah itu.
“Budaya kini bukan lagi sekadar simbol tradisi tinggalan sejarah, tetapi dalam era globalisasi ia menjadi aset strategik yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi, memperkukuh perpaduan sosial dan meningkatkan daya saing destinasi pelancongan kita,” katanya kepada Bernama.
Regatta Lepa ialah perayaan tradisi dan acara kebudayaan Sabah yang melambangkan warisan maritim masyarakat Bajau Semporna yang bermula sebagai penghargaan terhadap perahu lepa sebagai pengangkutan utama pada masa dahulu sebelum berkembang menjadi acara bertaraf dunia.
Selain itu, Jafry berkata Regatta Lepa lahir daripada hubungan erat yang harmoni antara masyarakat Bajau Semporna dengan khazanah laut, pulau serta sumber alam sekeliling yang menjadi nadi kehidupan mereka sejak turun-temurun.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata sebarang usaha memelihara warisan, seni ukiran dan adat resam tidak akan membuahkan hasil jika komuniti mengabaikan pemuliharaan ekosistem marin termasuk kebersihan laut, kesihatan terumbu karang dan kekayaan biodiversiti.
“Kita mahu generasi masa depan bukan sahaja mendengar kisah Regatta Lepa, tetapi berpeluang menyaksikan dan menghayatinya dalam suasana sebenar dan penuh makna. Budaya dan alam sekitar tidak boleh dipisahkan,” katanya.
Jafry berkata impak sosioekonomi perayaan itu sangat signifikan dalam merancakkan rantaian ekonomi domestik menerusi peningkatan permintaan terhadap sektor penginapan, makanan dan pengangkutan selain turut membuka ruang promosi kepada pengusaha kraf tangan dan peniaga kecil di Semporna.
Bagi mengekalkan momentum itu, beliau menyeru penglibatan aktif seluruh komuniti, terutamanya generasi muda dalam memelihara keaslian warisan budaya asli dan khazanah alam semula jadi agar keistimewaan Sabah itu terus dapat ditonjolkan kepada dunia.
Sementara itu, Pegawai Daerah Semporna Mas Syazwan Masood berkata kemeriahan Sambutan Pesta Regatta Lepa Kali Ke-31 tahun ini amat dirasai dengan ribuan bendera tradisi “sambulayang” yang dipasang masyarakat setempat di sepanjang laluan utama daerah tersebut.
Beliau berkata bendera berwarna-warni yang menghiasi Semporna itu menzahirkan semangat kebersamaan dan keterujaan warga tempatan dalam memelihara serta meraikan pesta tradisi itu yang kini menjadi tarikan pelancongan utama.
Mas Syazwan berkata bagi masyarakat Semporna, perahu lepa mempunyai maksud mendalam dan bukan sekadar pengangkutan kerana strukturnya sendiri melambangkan simbol kebijaksanaan pertukangan dan semangat kelangsungan hidup yang kental serta sangat rapat dengan laut sebagai sumber rezeki utama.
”Justeru, Regatta Lepa wajib disambut setiap tahun sebagai usaha berterusan kita untuk melestarikan warisan yang telah membentuk wajah serta identiti unik daerah Semporna yang kita kenali hari ini,” katanya.
Pemenang Ratu Lepa 2025 Azirah Ramlee berkata sepanjang tahun lepas, tanggungjawab memartabatkan khazanah warisan itu antara lain diterjemahkan menerusi penglibatan aktif dalam pelbagai platform kebudayaan termasuk mewakili Sabah ke Program ASEAN.
Pemenang gelaran Ratu Lepa, Busana Terbaik, Ratu Lepa Popular dan Igal Terbaik pada edisi 2025 itu berkata pemegang takhta tahun ini perlu melihat gelaran tersebut sebagai satu amanah untuk memperkenalkan budaya tempatan kepada masyarakat luar.
“Tidak kira siapa yang memegang gelaran dahulu, sekarang atau masa hadapan, matlamat kita tetap sama, iaitu menjadi generasi yang terus menjaga, menghargai dan memartabatkan warisan bangsa,” katanya.
-- BERNAMA