KUALA TERENGGANU, 28 Jun (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok putih dan keretek bernilai RM807,718.12 termasuk cukai dalam empat serbuan berasingan di negeri ini antara 16 April hingga 3 Mei lepas.
Pengarah JKDM Terengganu Hasbollah Din berkata serbuan pertama dibuat pada 16 April dengan menahan dua lelaki yang sedang mengangkut peti berisi rokok dari dua kereta ke dalam sebuah kedai di daerah Besut kira-kira 12.45 tengah malam.
Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan, terdapat 10,000 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM9,020 termasuk cukai di dalam premis terbabit.
"Dua kereta yang digunakan dalam aktiviti tersebut turut disita, manakala kedua-dua orang yang disyaki telah dituduh di Mahkamah Majistret Besut pada 22 April.
"Modus operandi ialah mengedar rokok tak berkastam ke premis perniagaan pada waktu tengah malam bagi mengelak dikesan pihak penguat kuasa," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM Terengganu, dekat sini hari ini.
Hasbollah berkata dalam serbuan kedua pada 20 April pula, pihaknya merampas sebanyak 40 peti yang mengandungi 400,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai, cukai keseluruhan dan sitaan berjumlah RM321,200 dalam Ops Peteh di sebuah tapak pembinaan terbiar di daerah Besut.
Beliau berkata penyeludup dikesan menggunakan kabin terbiar sebagai tempat penyimpanan rokok tidak berkastam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Kes ketiga pula melibatkan rampasan bernilai RM182,600 termasuk cukai, hasil serbuan di tebing sungai di kawasan Pasir Pekan, Kota Bharu pada 25 April.
"Dalam serbuan kira-kira 8.30 malam itu, Pasukan Penguatkuasaan Marin JKDM telah menjejaki dan mengekori sebuah kenderaan yang disyaki mengangkut rokok seludup di tebing sekitar kawasan Pasir Pekan.
"Bagaimanapun, pemandu kenderaan tersebut gagal ditangkap selepas bertindak agresif dengan melarikan diri sehingga merempuh penghadang jalan, sebelum meninggalkan kenderaan di kawasan Wakaf Bharu.
"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan menemukan sebanyak 200,000 batang rokok putih. Barang kes dan kenderaan telah disita untuk siasatan lanjut. Kes berkenaan masih dalam siasatan," katanya.
Hasbollah berkata serbuan terakhir dibuat kira-kira 12.30 tengah malam pada 3 Mei lepas di sebuah premis di Kota Bharu.
Beliau berkata dalam serbuan itu, JKDM merampas 334,736 batang rokok putih dan keretek yang disimpan di sebuah kediaman dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.
"Rampasan itu dianggarkan bernilai RM294,898.12 termasuk cukai. Premis kediaman dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan sementara sebelum rokok berkenaan diedarkan ke pasaran tempatan.
"Kes pertama disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, manakala kes dua, tiga dan empat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
-- BERNAMA