DUNIA

Kes Ebola Di DR Congo Melebihi 1,200

27/06/2026 12:24 PM

KINSHASA, 27 Jun (Bernama-Xinhua) -- Republik Demokratik Congo (DRC) merekodkan 1,203 kes Ebola yang disahkan termasuk 321 kematian, sejak wabak itu diisytiharkan pada pertengahan Mei, menurut laporan terbaharu yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan negara itu pada Jumaat, lapor Xinhua.

Menurut laporan itu, seramai 148 pesakit telah pulih, manakala 419 lagi sedang diasingkan atau menerima rawatan di hospital. 

Pihak berkuasa kesihatan turut mengenal pasti 265 kes disyaki, termasuk 77 kematian.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata menerusi platform X bahawa usaha mengesan kontak di DRC kini meliputi lebih ramai individu, manakala semakin ramai pesakit Ebola pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa usaha membendung wabak itu masih "jauh daripada selesai" kerana perang dan ketidakstabilan keselamatan terus menjejaskan operasi tindak balas, selain kurangnya kepercayaan masyarakat yang masih menjadi cabaran utama.

Laporan itu turut menyenaraikan beberapa cabaran operasi yang dihadapi dalam usaha membendung wabak, termasuk tentangan masyarakat terhadap ujian pascakematian, kapasiti rawatan yang tidak mencukupi di Ituri apabila pusat rawatan hampir mencapai kapasiti maksimum, serta kadar pemantauan kontrak rapat yang masih di bawah sasaran 95 peratus.

Laporan itu juga memberi amaran mengenai kekurangan ubat-ubatan penting serta bekalan pencegahan dan kawalan jangkitan, selain kekurangan kira-kira 20 pusat pengasingan.

Ketidakstabilan keselamatan dan kesukaran akses ke kawasan yang dikuasai kumpulan bersenjata, pergerakan penduduk yang tinggi serta kekurangan dana kira-kira US$20 juta turut dikenal pasti sebagai kekangan utama.

Wabak semasa yang berpunca daripada virus Ebola Bundibugyo itu diisytiharkan secara rasmi pada 15 Mei.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573690