Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak dalam julat terhad dengan kecenderungan meningkat pada minggu depan, susulan penantian pasaran terhadap beberapa data ekonomi utama.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata laporan gaji bukan perladangan (NFP) Amerika Syarikat (AS) akan menjadi petunjuk utama dalam membentuk jangkaan pasaran terhadap hala tuju kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Laporan NFP yang akan datang dijangka mengesahkan bahawa pengguna dan pasaran buruh AS semakin perlahan, sekali gus menjadikan kemungkinan Fed menaikkan kadar faedah sekali lagi semakin tidak meyakinkan.
“Sekiranya data gaji minggu depan mengukuhkan keadaan itu, dolar AS berpotensi terus tertekan, hasil Perbendaharaan AS mungkin kembali susut, sekali gus memberi pemangkin kepada logam berharga itu untuk meneruskan pemulihannya,” katanya kepada Bernama.
Berdasarkan perbandingan minggu ke minggu, kontrak bulan semerta Jun 2026 susut kepada US$4,050.90 setiap auns troy semalam daripada US$4,170.80 pada Jumaat minggu sebelumnya.
Kontrak Julai 2026 turun kepada US$4,065.30 setiap auns troy daripada US$4,184.90, manakala Ogos 2026 berkurangan kepada US$4,088.10 setiap auns troy berbanding US$4,205.50 sebelumnya.
Kontrak September 2026 merosot kepada US$4,092.60 setiap auns troy daripada US$4,210.00 pada Jumaat minggu lalu, sementara kontrak Oktober dan Disember 2026 masing-masing turun kepada US$4,111.70 setiap auns troy berbanding US$4,229.10 sebelum ini.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 69 lot daripada 47 lot, manakala kepentingan terbuka susut kepada 83 kontrak berbanding 87 kontrak pada minggu sebelumnya.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,001.80 setiap auns troy mengikut penetapan oleh London Bullion Market Association pada 25 Jun 2026.
-- BERNAMA