JENAYAH & MAHKAMAH

Empat Didakwa Sertai Perhimpunan, Cederakan Seorang Lelaki

26/06/2026 05:50 PM

GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan mengakibatkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki, minggu lepas.

R Nahveen Raaj, 34, S Logakumaran, 31, M Sanjit Kumar, 38, dan K Dineskumar, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas menjadi ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang bertujuan semasa berada di perhimpunan itu seorang atau lebih daripada ahli kumpulan didakwa telah menyebabkan kecederaan parah kepada Mohamed Umar Sheriff Mohamed Ameen, 31.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tokong Hean Seng Kong di Jelutong di sini, pada 4.24 pagi, 21 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong manakala kesemua tertuduh diwakili peguam V Parthipan.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin selepas mengambil kira tahap kecederaan mangsa yang serius dan masih menerima rawatan di hospital selain risiko tertuduh melarikan diri sebelum menetapkan 28 Ogos depan bagi serahan laporan perubatan penuh.

Selasa lepas, polis menahan enam lelaki tempatan kerana disyaki terlibat mencederakan dua lelaki dengan senjata tajam hingga parah di sebuah tokong di Jelutong, awal pagi Ahad lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng dilaporkan berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di sebuah pusat hiburan apabila seorang daripada mangsa berusia 31 tahun dituduh mencuri telefon bimbit seorang suspek, namun dakwaan itu tidak benar. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573383