TENOM, 23 Jun (Bernama) -- Seorang murid perempuan berusia 10 tahun cedera dan dirujuk ke hospital selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di daerah ini pada 11 Jun lepas, dengan video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak berkata tiga individu dipanggil bagi membantu siasatan, termasuk pelaku yang dipercayai terbabit dalam rakaman serta penyebaran video berkenaan.
Katanya beberapa barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Azmir berkata siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.
Beliau berkata polis memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan terhadap kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur,” katanya.
-- BERNAMA