KUCHING, 23 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara kerana merempuh sekatan jalan raya (SJR) dan melanggar seorang pegawai kanan polis sedang bertugas dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah di Jalan Padungan, dekat sini pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Kuching semalam dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, penjara setahun mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan serta penjara sembilan bulan di bawah Seksyen 186 kanun sama.
“Dalam kejadian pada 2.40 pagi 20 Jun, lelaki itu merempuh SJR sebelum melanggar seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan luka siku kanan.
“Lelaki itu melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum berjaya ditahan kira-kira 7 pagi hari sama di Jalan Bintara, Samariang hasil risikan dan tindakan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah amphetamine, methamphetamine, ketamine dan benzodiazepine serta mempunyai enam rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan.
Alexson berkata lelaki itu juga akan dituduh mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan semasa SJR dan tidak memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol untuk keselamatan pengguna jalan raya serta anggota penguat kuasa yang bertugas.
-- BERNAMA