JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Parah Ditetak Adik Kandung Di Kebun Durian

23/06/2026 07:32 PM

GEORGE TOWN, 23 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun cedera parah selepas dipercayai ditetak adik kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah kebun di Paya Terubong, Air Itam di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada 3.50 petang itu oleh orang awam sebelum menjalankan siasatan di lokasi.

Beliau berkata siasatan mendapati mangsa pada mulanya dikatakan datang untuk melawat kebun durian miliknya sebelum mendapati beberapa barangan di rumah kebun itu rosak dan mengesyaki ia dilakukan oleh suspek.

“Mangsa kemudian menegur suspek berhubung kerosakan tersebut sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka, dan suspek mengambil sebilah parang lalu menetak mangsa sebanyak tiga kali sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Abdul Rozak berkata bertindak atas maklumat, polis menahan suspek lelaki berusia 62 tahun pada 6.30 petang hari sama di belakang rumah kebun terbabit dengan bantuan Unit Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Suspek direman selama tujuh hari hingga 28 Jun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2572107