PASARAN

Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Rendah

23/06/2026 06:45 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Selasa, seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran terjejas oleh harga minyak mentah yang rendah dalam ketidaktentuan berpanjangan mengenai kelangsungan perjanjian damai Asia Barat.

“Niaga hadapan getah Jepun menurun pada Selasa berikutan perjanjian gencatan senjata yang tidak stabil antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menyebabkan peniaga berhati-hati mengenai prospek inflasi dan harga tenaga.

“Sementara itu, harga minyak jatuh pada Selasa, meneruskan penurunan daripada sesi sebelumnya berikutan petunjuk bahawa terdapat kemajuan dalam usaha memulihkan aliran bekalan minyak mentah melalui Selat Hormuz selepas rundingan damai antara AS dan Iran,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent menurun 0.6 peratus kepada US$77.34 setong.

Beliau berkata sentimen turut terjejas oleh jangkaan yang meningkat terhadap dasar monetari AS yang lebih ketat berikutan inflasi dijangka berterusan.

“Dilaporkan bahawa peniaga menjangka Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas menjelang akhir tahun ini untuk mengekang tekanan inflasi akibat daripada kos tenaga yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya penurunan seterusnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai bekalan getah disebabkan gangguan cuaca dan pertumbuhan industri automotif yang menggalakkan di Eropah.

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 menurun sembilan sen kepada 944 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan tiga sen kepada 792.5 sen sekilogram. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2572083