SUKAN

Zaiton Gesa MA Perkemas Tadbir Urus, Patuh Perlembagaan WA

23/06/2026 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Bekas Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman menggesa Olahraga Malaysia (MA) memperbaiki tadbir urus serta memastikan pematuhan penuh terhadap perlembagaan dan garis panduan Olahraga Dunia (WA).

Bekas olahragawati kebangsaan itu berkata sebarang pindaan atau keputusan yang bercanggah dengan perlembagaan badan induk dunia itu boleh mengundang tindakan, termasuk penggantungan atau pembatalan pendaftaran MA.

Zaiton berkata sekiranya MA dikenakan tindakan, Malaysia berdepan risiko tidak dapat menganjurkan acara olahraga pada temasya Sukan SEA 2027, selain atlet negara tidak dibenarkan beraksi dalam kejohanan antarabangsa yang diiktiraf WA.

“Olahraga antara sukan yang menyumbang pingat terbanyak pada Sukan SEA selain renang dan menembak. Kebimbangan kita ialah apabila Malaysia menjadi tuan rumah, tetapi tidak dapat menganjurkan acara olahraga. Sebab itu kami tampil untuk memperbetulkan keadaan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Reformasi dalam Sukan dan Kecemerlangan (RISE) dalam pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari di bangunan Parlimen, hari ini.

Turut hadir Olimpian Datuk Karu Selvaratnam dan bekas pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Acara olahraga atau trek dan padang menawarkan 47 pingat emas di temasya Sukan SEA, dengan tumpuan utama terarah kepada acara riben biru 100 meter (m) serta kuartet 4x100m.

Zaiton, bekas atlet heptatlon yang digelar ‘Wanita Besi’, berkata kebimbangan itu turut dikongsi beberapa bekas atlet dan Olimpian yang hadir kerana tidak mahu prestasi atlet negara terjejas akibat isu tadbir urus serta pematuhan peraturan.

Beliau berkata meskipun kerajaan tidak boleh campur tangan secara langsung dalam urusan pentadbiran persatuan sukan, Akta Pembangunan Sukan 1997 memberi ruang kepada kementerian dan Pesuruhjaya Sukan untuk menegur serta memastikan persatuan sukan beroperasi mengikut kerangka peraturan yang ditetapkan.

Pada awal bulan lepas, Presiden MA Karim Ibrahim dilaporkan bercuti daripada menerajui badan induk itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijadualkan akhir bulan ini bagi membolehkan perlembagaan MA dipinda selaras perlembagaan WA.

Sebelum itu, status Karim sebagai presiden menjadi perhatian susulan penggantungan yang dikenakan terhadapnya pada 2018 oleh badan induk dunia itu, keputusan yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Bagaimanapun, beliau masih dibenarkan bertanding dan berkhidmat dalam Majlis Eksekutif Persatuan Olahraga Asia bagi penggal 2019-2023, walaupun selepas keputusan CAS.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2572072