AM

KPJ-JSH Laksana Pembedahan Telinga Pesakit Sedar Pertama Di Malaysia

22/06/2026 09:33 PM

JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama) -- Johor Specialist Hospital (JSH) berjaya melaksanakan pembedahan pertama di Malaysia bagi prosedur pembaikan mastoid dan gegendang telinga dalam keadaan pesakit sedar, sekali gus mencatat pencapaian penting dalam bidang penjagaan kepakaran otorinolaringologi (ENT) di bawah sistem kesihatan KPJ Healthcare Berhad.

JSH merupakan sebahagian daripada rangkaian KPJ Healthcare Berhad.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata prosedur yang dijalankan menggunakan bius setempat itu menawarkan pendekatan rawatan alternatif bagi pesakit terpilih yang memerlukan pertimbangan klinikal tambahan sebelum menjalani bius am.

Beliau berkata prosedur perintis itu dilaksanakan oleh Pakar Perunding Otorinolaringologi, Dr R. Shankar bersama pasukan pembedahan pelbagai disiplin JSH.

“Pembedahan ini berjaya dilakukan ke atas seorang pesakit berusia 83 tahun yang mengalami masalah lelehan telinga berpanjangan akibat jangkitan telinga tengah kronik (mastoiditis) yang memerlukan rawatan pembedahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya prosedur seumpama itu lazimnya dijalankan menggunakan bius am yang memerlukan pesakit berada dalam keadaan tidak sedar sepanjang pembedahan.

Beliau berkata, meskipun bius am selamat dan sesuai untuk kebanyakan pesakit, ia boleh memberi pertimbangan tambahan khususnya kepada pesakit warga emas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

“Sebaliknya, pendekatan sedar ini membolehkan pesakit kekal sedar dan memberi respons sepanjang prosedur, dalam keadaan yang masih selesa dan selamat,” katanya.

Chin berkata teknik itu juga membolehkan komunikasi berterusan antara pesakit dan pasukan pembedahan semasa prosedur dijalankan, selain mengurangkan pendedahan kepada bius am apabila sesuai dari segi klinikal.

Beliau menjelaskan, pendekatan berkenaan memerlukan pemilihan pesakit yang teliti, perancangan rapi serta kepakaran pembedahan yang tinggi, menjadikannya prosedur sangat khusus yang hanya dilakukan di beberapa pusat terhad di peringkat antarabangsa.

Menurutnya kejayaan itu mencerminkan peningkatan kepakaran khusus dalam KPJHS serta komitmen kumpulan berkenaan untuk memperluaskan pilihan rawatan kepada pesakit dengan keperluan klinikal yang pelbagai.

“Walaupun tidak semua pesakit sesuai untuk pendekatan ini, keupayaan menawarkan pilihan rawatan tambahan apabila sesuai dari segi klinikal membuktikan bagaimana penjagaan kesihatan khusus terus berkembang mengikut keperluan pesakit yang berubah.

“Sebagai sistem kesihatan akademik swasta pertama di Malaysia, kami terus memperkukuh keupayaan bagi menyokong kecemerlangan klinikal, pembelajaran berterusan dan inovasi dalam rangkaian kami,” katanya.

Beliau berkata KPJ Healthcare berhasrat untuk memajukan penjagaan kesihatan yang lebih peribadi, bersifat ramalan dan berfokuskan hasil, di samping memastikan pesakit terus mendapat akses kepada kepakaran dan kaedah rawatan khusus.

Sementara itu, Dr Shankar berkata keunikan pendekatan tersebut terletak pada keupayaan berkomunikasi dengan pesakit sepanjang pembedahan telinga yang rumit, sekali gus membolehkan interaksi lebih dekat serta memberi manfaat dalam kes-kes terpilih.

“Keputusan yang berjaya ini bukan sahaja mencerminkan kepakaran teknikal tetapi juga kepentingan memilih pendekatan rawatan paling sesuai mengikut keadaan individu pesakit,” katanya.

“Pada akhirnya, matlamat kami adalah memastikan setiap pesakit menerima rawatan yang disesuaikan dengan keperluan klinikal mereka, sambil mengekalkan tahap keselamatan dan kualiti tertinggi,” katanya.

Pencapaian KPJ Healthcare itu mencerminkan kemajuan berterusan perkhidmatan khusus dalam Sistem Kesihatan KPJ yang menggabungkan amalan, pendidikan, penyelidikan dan inovasi bagi memperkukuh penjagaan pesakit serta meningkatkan hasil rawatan.

Ia turut menonjolkan nilai ekosistem kesihatan yang lebih bersepadu dalam menyokong pertukaran kepakaran, penerapan kaedah rawatan maju serta pembangunan keupayaan khusus merentasi rangkaian, sekali gus membolehkan lebih ramai pesakit menikmati rawatan canggih dan khusus.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2571685