AM

KPJ Healthcare Lancar Kempen Tawar 500 Prosedur Endoskopi Dan Kolonoskopi Percuma

18/06/2026 04:26 PM

 

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd hari ini melancarkan kempen "Digestive Care 4 Life" di seluruh negara yang menawarkan 500 prosedur endoskopi dan kolonoskopi percuma kepada pesakit yang dirujuk daripada fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

Kempen yang dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersempena dengan World Digesting Health Day 2026 itu merupakan inisiatif awam-swasta yang bertujuan untuk mempercepat pengesanan awal penyakit penghadaman bagi meringankan beban hospital awam.

Selain itu kempen tersebut juga bertujuan untuk menggalakkan kesedaran tentang kesihatan penghadaman, pencegahan dan intervensi lebih awal, terutamanya untuk penyakit kanser kolorektal.

Dzulkefly berkata pengukuhan sistem penjagaan kesihatan Malaysia perlu bukan hanya sekadar rawatan semata-mata tetapi juga memberi penekanan yang lebih besar terhadap pencegahan dan pembudayaan gaya hidup sihat.

"Kerajaan tidak dapat membina sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan dan mampan jika kita gagal memupuk masyarakat yang sihat terlebih dahulu. Hospital dan klinik kita mesti kekal sebagai kubu pertahanan terakhir kita.

"Kita bukan sahaja mahu cemerlang dalam merawat kanser dan penyakit penghadaman, malah kita mesti lebih agresif dalam mencegahnya," katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, presiden dan pengarah urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan dan pengarah perubatan KPJ Healthcare Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid.

Dzulkefly berkata peningkatan kes kanser kolorektal di Malaysia memerlukan perhatian serius kerana banyak penyakit penghadaman berkembang tanpa menunjukkan gejala awal yang menyebabkan pesakit sering terlepas peluang untuk melakukan diagnosis dan mengambil rawatan tepat pada masanya.

Bagi memperkukuh agenda penjagaan kesihatan pencegahan negara, Dzulkefly berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM80 juta di bawah Belanjawan 2026 untuk program saringan kesihatan PeKa B40 bagi mengesan penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk tanda-tanda amaran awal kanser dalam kalangan kumpulan rentan.

Selain itu, tambahan RM10 juta juga telah disalurkan kepada Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), yang disasarkan kepada dua juta rakyat Malaysia, untuk meluaskan akses kepada penilaian kesihatan di seluruh negara, katanya.

Justeru, Dzulkefly menggesa rakyat Malaysia agar tidak bertangguh untuk mendapatkan khidmat nasihat hingga simptom berlaku. 

"Pemeriksaan awal bukan petanda lemah; Ia adalah langkah-langkah proaktif yang menyelamat nyawa.  Kanser kolorektal apabila dikesan lebih awal, mudah untuk dirawat. Jadikan pemeriksaan kesihatan sebagai sebahagian penting daripada rutin kehidupan anda dan bukannya difikirkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta penting dalam memastikan kesinambungan penjagaan dan mengurangkan kelewatan dalam mendapatkan diagnosis.

"Ini merupakan contoh utama Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang signifikan. Dengan menyerap beban klinikal ini, KPJ secara langsung mengurangkan tunggakan di hospital awam dan mempercepatkan masa untuk diagnosis bagi mereka yang paling memerlukannya.

"Saya menggesa orang ramai, terutamanya mereka yang layak dan berisiko, untuk memanfaatkan sepenuhnya dan memaksimumkan inisiatif oleh KPJ Healthcare ini. Jangan biarkan peluang keemasan untuk intervensi awal ini berlalu begitu sahaja," katanya.

Pada pelancaran itu, KPJ Healthcare turut mengumumkan inisiatif capaian komuniti dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia dan Hear Me Malaysia untuk menyediakan 100 pemeriksaan kesihatan percuma kepada komuniti cacat pendengaran.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan tersebut untuk menggalakkan penjagaan kesihatan inklusif, menambah baik akses kepada maklumat kesihatan dan perkhidmatan saringan untuk kumpulan yang kurang mendapat perkhidmatan, dan menggalakkan pengenalpastian awal potensi masalah kesihatan dan penjagaan susulan yang sesuai.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569909