EKONOMI

Pusat Data Jana Manfaat Limpahan Ekonomi Tidak Langsung Lebih Luas - Tengku Zafrul

04/06/2026 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) – Tanggapan bahawa pusat data hanya menjana pekerjaan adalah tidak tepat kerana ia membawa manfaat ekonomi yang lebih luas selain pekerjaan secara langsung melalui ekosistem yang diwujudkannya, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu, kritikan bahawa pusat data mewujudkan jumlah pekerjaan yang agak kecil berbanding pelaburan dalam sektor pembuatan tidak mengambil kira kesan limpahan ekonomi yang lebih luas dijana oleh industri tersebut untuk negara.

“Limpahannya lebih bersifat tidak langsung. Limpahan itu adalah daripada membina dan membawa masuk ekosistem yang betul, terutamanya apabila kita bercakap mengenai kecerdasan buatan (AI).

“Ia seperti membina lebuh raya. Apabila kita membina Lebuhraya PLUS, kita tidak boleh melihat nilainya hanya berdasarkan jumlah pengendali tol yang mengutip tol,” katanya pada sesi perbincangan panel di Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa MIDA memberi tumpuan untuk memastikan pelaburan berkaitan AI menyumbang secara positif kepada ekonomi yang lebih luas melalui kesan limpahan yang bermakna.

“Kami menyedari bahawa kami perlu lebih memilih apabila melibatkan pelaburan seperti pusat data. Kecekapan tenaga adalah penting dan itulah sebabnya kami memperkenalkan pelbagai metodologi dan syarat,” katanya.

Tengku Zafrul berkata pengendali pusat data bukan sahaja mempunyai tanggungjawab untuk menerima pakai sumber tenaga hijau dan mampan, malah membantu membina ekosistem yang lebih luas yang menyokong infrastruktur AI di Malaysia.

“Seluruh rantaian bekalan di sebalik infrastruktur AI perlu berkembang seiring dengan mereka. Mereka perlu menggalakkannya,” katanya.

Mengenai penyertaan tempatan, katanya kerajaan menggalakkan penyertaan syarikat dan pembekal tempatan yang lebih luas dalam projek pusat data.

“Kami menggalakkan penyertaan tempatan, kami mengenakan syarat sehingga 40 peratus kandungan tempatan,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata tenaga nuklear perlu terus dipertimbangkan dalam Malaysia berusaha mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih dan memastikan bekalan tenaga yang mencukupi untuk pertumbuhan masa depan.

“Jika kita melihat negara jiran kita – Singapura, Vietnam, Thailand, Indonesia – mereka juga pada hala tuju yang sama apabila nuklear menjadi satu daripada sumber tenaga yang diperlukan jika ingin mencapai sasaran sifar bersih.

“Pada pandangan saya, lebih cepat lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2564610