PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Perbadanan Putrajaya (PPj) melaksanakan pengurangan kadar sewa bulanan 30 peratus kepada peniaga medan selera, kios penjaja dan pasar miliknya selama 12 bulan bermula 1 Jun ini hingga 30 Mei 2027.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif yang dijangka memberi manfaat kepada 244 peniaga kecil di Putrajaya itu dilaksanakan bagi mengurangkan tekanan operasi serta membantu peniaga kecil dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.
“Peniaga kecil tidak patut dibiarkan berjuang sendirian ketika cabaran kos sara hidup terus dirasai rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Medan Selera Presint 9 di sini hari ini.
Hannah berkata bagi melayakkan mereka menikmati pengurangan kadar sewa berkenaan, peniaga yang terlibat perlu menyelesaikan tunggakan sewa hingga Mei 2026.
Beliau berkata langkah ini juga memberi peluang kepada mereka untuk menyusun semula komitmen sewaan secara lebih stabil dan mampan.
“Saya memahami ramai peniaga kecil memulakan hari seawal pagi demi memastikan perniagaan mereka terus berjalan dan keluarga mereka terus terbela.
“Ketika rakyat sedang mengurus pelbagai cabaran kehidupan harian, bantuan bersasar amat penting supaya peniaga kecil terus mampu bertahan,” katanya.
Hannah berkata kerajaan turut menggalakkan peniaga menyokong amalan komuniti sihat dan mampan selaras dengan aspirasi Putrajaya termasuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta menyediakan pilihan makanan yang lebih sihat kepada pelanggan.
“Saya berharap langkah ini dapat memberi sedikit ruang bernafas kepada peniaga kecil yang setiap hari berusaha mencari rezeki demi keluarga mereka. Apabila peniaga kecil terus diberi ruang untuk bertahan dan berkembang, seluruh komuniti turut mendapat manfaat daripada pengguna, keluarga hinggalah ekonomi setempat,” katanya.
Sementara itu, Hannah berkata peniaga di Medan Selera Presint 9 turut bersetuju dan menyahut inisiatif PPj untuk memulakan pemberian diskaun makanan 10 hingga 15 peratus untuk warga emas.
“Diskaun ini tak boleh terpakai untuk satu keluargalah. Ia hanya khas untuk warga emas yang makan dan minum.
“Saya ucapkan terima kasih kepada persatuan penjaja kerana mereka menyahut inisiatif PPj ini dan PPj merupakan pihak berkuasa tempatan yang pertama di Jabatan Wilayah Persekutuan yang melaksanakan inisiatif ini,” katanya.
-- BERNAMA