KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Nostalgia Exists, energi Bunkface dan irama retro Masdo bakal bergabung di atas satu pentas dan menggegarkan Karnival RIUH Pi HAWANA di Tapak Parkir Pusat Konvensyen PICCA@ Arena Butterworth, Pulau Pinang dari 19 hingga 21 Jun ini.
Karnival anjuran MyCreative Ventures bersempena Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 itu akan berlangsung dari 8.30 malam hingga 12 tengah malam pada Jumaat dan 3 petang hingga 12 tengah malam pada Sabtu dan Ahad, menggabungkan persembahan muzik, seni, budaya, makanan dan aktiviti komuniti dalam suasana santai.
Selain tiga kumpulan popular itu, pengunjung turut berpeluang menikmati persembahan daripada barisan artis dan kumpulan muzik lain seperti Chelsea Ng, Sakura Band, Fugo, Saint Kylo, Lucidrari serta Budak Nakal Hujung Simpang yang akan menghiburkan pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran acara berkenaan.
Exists dijadual mengadakan persembahan pada malam pembukaan pada 19 Jun, diikuti Bunkface pada 20 Jun manakala Masdo akan menutup tirai persembahan pada malam terakhir acara pada 21 Jun.
Program itu dijangka menarik kira-kira 30,000 pengunjung dan menghimpunkan pelbagai jenama tempatan serta vendor makanan dan minuman selain bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai aktiviti kreatif.
Antara bengkel ditawarkan ialah seni cetakan cyanotype, proses cetakan lumen menggunakan perak, ukiran cop batu, pembuatan zine, pengalaman manik Nyonya dan aktiviti menjejak warisan Boria yang mencerminkan kepelbagaian budaya Pulau Pinang.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jun ini, dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, adalah platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.
-- BERNAMA