AM

KETENGAH Terima Peruntukan RM971,000 Laksana Program Perumahan Rakyat Sejahtera

16/06/2026 06:36 PM

CHUKAI, 16 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menerima peruntukan sebanyak RM971,000 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) tahun lepas.

Pengurus Besar KETENGAH Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata peruntukan tersebut melibatkan pembinaan sembilan buah rumah baharu dan baik pulih 13 rumah di seluruh wilayah KETENGAH.

Beliau berkata pembinaan seunit rumah baharu menerusi program berkenaan berharga RM79,000 manakala baik pulih bernilai RM20,000 dan program tersebut diperkenalkan bagi memastikan keluarga yang layak dapat menikmati kediaman yang lebih selesa dan kondusif.

"Jumlah keseluruhan peruntukan PPRS berkenaan termasuk peruntukan khas berjumlah RM317,000 bagi membina tiga rumah baharu dan baik pulih empat unit rumah Orang Asli," katanya selepas majlis penyerahan tiga unit rumah PPRS kepada keluarga Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Pergam di sini hari ini.

Beliau berkata penerima bantuan PPRS dipilih daripada keluarga miskin yang berdaftar dalam sistem e-Kasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Sistem Data Maklumat Masyarakat Orang Asli (i-Damak) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Tengku Ahmad Nadzri berkata pada tahun ini, KETENGAH menerima peruntukan khas daripada KKDW berjumlah RM440,000 bagi membaik pulih 22 unit rumah di Parlimen Dungun.

Sementara itu, penerima rumah baharu Orang Asli, Kharil Rahim, 29, berkata dia dan isterinya, Nor Basirah Bali, 28, bersyukur terpilih menerima bantuan rumah menerusi PPRS.

"Saya bersyukur kerana isteri serta anak kami yang berusia enam tahun tidak perlu lagi menumpang rumah mak mertua saya. 

"Selepas ini kami dapat tinggal di rumah baharu yang lebih selesa. Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan KETENGAH atas bantuan diberikan ini," katanya yang bekerja sebagai buruh ladang sawit.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569235