DUNIA

Singapura Catat Kes Denggi Mingguan Tertinggi Bagi 2026

16/06/2026 04:27 PM

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 16 Jun (Bernama) -- Singapura merekodkan 119 kes denggi bagi minggu berakhir 13 Jun, peningkatan sebanyak 39 kes berbanding minggu sebelumnya, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).

Berdasarkan data Bahagian Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan yang diterbitkan di laman web NEA, jumlah kes baharu itu menandakan kes mingguan tertinggi yang dilaporkan setakat ini bagi 2026.

Sehingga 15 Jun, sebanyak 12 kluster denggi aktif dilaporkan dengan empat daripadanya diklasifikasikan di bawah amaran merah, menurut NEA.

"Memandangkan Singapura telah memasuki musim kemuncak tradisional denggi dari Mei hingga Oktober, orang ramai digesa untuk terus berwaspada dan membasmi tempat pembiakan nyamuk bagi meminimumkan risiko penularan denggi dalam komuniti.

"Iklim tropika dan kepadatan penduduk yang tinggi di negara ini mewujudkan keadaan ideal untuk nyamuk membiak sepanjang tahun. Tempoh kemuncak tradisional dengan suhu yang lebih panas pula mempercepatkan perkembangan nyamuk dan penggandaan virus," tambah agensi itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569159