PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Semua pihak diingatkan agar tidak menggunakan bahasa yang kurang sopan dalam mengeluarkan kenyataan, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata sebarang kenyataan yang berkemungkinan menyentuh sensitiviti bangsa, agama dan raja (3R) perlu dielakkan.
“Nasihat untuk semua orang, janganlah guna pakai bahasa-bahasa yang tidak sopan dan kita elakkan semua isu-isu 3R bukan sahaja semasa kempen tetapi sepanjang masa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus Balancing Virality & Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust & Impact - An Industry Dialogue, di sini hari ini.
Beliau mengulas kritikan terhadap Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohd Hisyamuddin Ghazali, yang didakwa menggunakan bahasa kurang sopan dalam mengeluarkan kenyataan setelah memegang jawatan.
Teo berkata beliau belum lagi bertemu dengan Mohd Hisyamuddin bagi menyampaikan teguran tersebut.
Mohd Hisyamuddin dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada 9 Jun, bagi menggantikan Datuk Ismail Yusop.
-- BERNAMA