AM

Cadangan Elaun Pelajar Tingkatan Enam Dibawa Ke Mesyuarat Kabinet Minggu Depan - Fadhlina

13/06/2026 06:30 PM

BUTTERWORTH, 13 Jun (Bernama) -- Cadangan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata perkara itu akan disampaikan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari lawatan ke Turkmenistan.

“Kita memahami keutamaan dan harapan anak-anak Tingkatan Enam dan perkara ini masih kita perjuangkan,” katanya ketika berucap pada program POV Anak Muda: Anak Muda dan Ketidakpastian Realiti Siri 2 Zon Utara di sini hari ini.

Fadhlina berkata kerajaan sebelum ini turut memperjuangkan pemberian elaun kepada pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), yang kini telah menerima kemudahan berkenaan.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Program sehari itu menghimpunkan kira-kira 950 peserta dan menjadi platform dialog antara golongan muda, pemimpin, penggubal dasar serta penganalisis bagi membincangkan isu pendidikan, ekonomi, pekerjaan dan kos sara hidup.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568186