KUALA TERENGGANU, 12 Jun (Bernama) -- Seorang suri rumah kerugian sebanyak RM95,715.40 akibat diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan secara dalam talian, bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 8 Mei, wanita berusia 37 tahun itu melihat iklan kerja sambilan di laman sosial Facebook.
Beliau berkata mangsa menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan ditawarkan kerja dengan pendapatan lumayan serta dimasukkan dalam kumpulan di Telegram untuk menerima arahan lanjut.
"Mangsa diberi beberapa tugasan untuk like dan share hantaran di Facebook untuk menaikkan rating laman sosial itu. Bagaimanapun untuk mendapatkan tugasan, mangsa perlu membuat bayaran sebagai kos pengurusan dan telah menerima pulangan RM85 untuk tugasan pertama serta kedua.
“Mangsa kemudiannya membuat bayaran RM95,715.40 dari 8 hingga 18 Mei untuk mendapatkan tugasan kerana dijanjikan komisen lebih lumayan, namun gagal mendapatkan bayaran tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azli berkata mangsa yang kehilangan semua wang simpanan peribadi serta suaminya membuat laporan polis pada 6.02 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA