SUKAN

Azizulhasni Terharu Titah Doa Sultan Pahang, Belum Mahu Janji Ke LA28

11/06/2026 08:42 PM

NILAI, 11 Jun (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terharu dengan titah doa Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu melihat beliau beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, bagaimanapun berkata beliau belum bersedia memberi sebarang komitmen mengenai perkara itu.

Mohd Azizulhasni berkata pada tahap ini beliau lebih selesa mengambil pendekatan “selangkah demi selangkah”, dengan fokus tertumpu kepada persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

“Saya serahkan kepada  Allah. Kita boleh rancang, tapi sebaik-baik perancang adalah Allah. Saya pun tak nak terlampau berjanji.  

“Saya tak nak letak satu harapan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga untuk sukan kita dan semua orang. Kita tengok macam mana perkembangannya nanti,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Trek Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, Nilai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Al-Sultan Abdullah semalam yang mendoakan agar pelumba berusia 38 tahun itu dapat bersaing di LA28.

Mohd Azizulhasni yang diberi julukan “The Pocket Rocketman”, berkata sokongan tersebut dan keberangkatan Al-Sultan Abdullah menyaksikan perlumbaan di sini semalam amat bermakna.

“Kita semua terharu sebenarnya. Tuanku nak datang tengok dan banyak beri kata semangat serta mendoakan kita semua. Bukan mudah untuk sukan kita mendapat perhatian sedemikian. Harapan saya sukan lumba basikal akan terus maju,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pencapaian berbasikal negara di pentas dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sepatutnya membuka ruang kepada sukan itu berkembang dengan lebih pesat, termasuk dari segi pembangunan bakat, sokongan struktur dan kesinambungan atlet pelapis.

“Berbasikal sepatutnya dah macam badminton dan bola sepak. Kita letak prestasi bertaraf dunia, tapi kita masih merangkak untuk ada ramai bakat berkualiti dan dari segi pencapaian. Saya berharap kita akan terus mencipta kejayaan,” katanya.

Terdahulu, final acara pecut lelaki elit menyaksikan Mohd Azizulhasni yang mewakili Team Azizul menewaskan pelumba Johor, Mohd Akmal Nazimi Jusena 2-0, sekali gus menebus kekecewaan meraih perak dalam keirin semalam.

Dalam penentuan pingat gangsa, wakil Johor Muhammad Shah Firdaus Sahrom melakar kemenangan 2-0 ke atas Muhammad Fadhil Mohd Zonis dari Selangor.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567481